Nazeera Sardi Nak Sambung PhD

PEMILIK nama pentas Nazeera Sardi akur dengan tahap populariti diri yang tidak segah mana. Sembilan tahun beraksi dalam gelanggang seni namun sehingga kini, kehadirannya masih sekadar ada.

Bukan tidak pernah diberi peluang membawa watak-watak utama atau pen­ting dalam sesebuah naskhah, namun entah di mana dan apa silapnya, sehingga sekarang, wanita kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan itu masih berada di tahap mendatar.

Mendekati pemilik nama sebenar Siti Nazirah Sardi wanita berzodiak Libra itu awal-awal lagi mengiakan perkara tersebut.



AKUI pemilik ijazah Sarjana ini, mungkin disebabkan dirinya tiada kontroversi apatah lagi gosip-gasip panas, jadi sebab itu orang tidak kenal siapa Nazeera Sardi. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Ujar pemilik Ijazah Sarjana Muda Industri Bioteknologi daripada Universiti Selangor (UNISEL) itu, dia sendiri tidak tahu apa lagi hendak dilakukan bagi memperkenalkan namanya kepada umum selain hanya mampu mempersembahkan bakat yang ada.

Akuinya, dia langsung tidak pernah ambil pusing apatah lagi terasa hati jika seseorang itu tidak mengenali dirinya mahupun mengingati namanya.

“Perkara yang satu ini memang saya tidak dapat elakkan. Saya sendiri pun perasan benda yang sama.

“Mungkin kerana saya tiada apa-apa kontroversi apatah lagi gosip-gasip panas. Jadi sebab itu orang tidak kenal siapa Nazeera Sardi,” tuturnya membuka bicara bersama HibGlam sambil tertawa kecil.



Senyuman manis pada bibir dan bentuk potongan badannya langsung tidak menggambarkan usianya yang kini. sudah mencecah 34 tahun. Jujurnya, dia kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

SELAIN sibuk dengan kerjaya seni, Nazeera turut mempersiapkan diri dengan mengusahakan beberapa jenis perniagaan melibatkan produk penjagaan kesihatan, kosmetik dan makanan.

Rezeki tidak putus

Berkongsi lanjut, anak bongsu daripada lapan beradik itu tetap memanjat kesyukuran atas nikmat rezeki yang diperolehi selama ini.

Ceritanya, sejak terjun dalam dunia seni khususnya lakonan, rezekinya tidak pernah putus.



“Alhamdulillah. Rezeki saya dalam bidang ini sentiasa dimurahkan Tuhan. Boleh dikatakan ada sahaja drama, telefilem mahupun filem yang ditawarkan.

“Saya pula jenis tidak memilih. Apa sahaja yang ditawarkan saya akan ambil. Jika dapat watak yang kena dengan diri seperti antagonis, isteri teraniaya dan gadis kampung lagi saya suka.

“Bagaimanapun, kadang-kadang teringin juga untuk cabar diri membawakan watak-watak lebih matang dan mencabar,” ujarnya yang memberitahu baharu sahaja tamat menjalani penggambaran bagi sebuah telefilem aksi berjudul Rozana arahan Saiful Reza Shukor.

Naskhah tersebut menuntut dirinya membawa watak sebagai bomoh jahat.



Beritahunya, membawakan watak sebagai bomoh yang memerlukan dirinya melakukan babak pertarungan dan bergaduh bukan satu perkara yang mudah tetapi telah cuba dilakukan sebaiknya.

Meneruskan perbualan, dramatis yang membina reputasi menerusi karya-karya seperti, Hanya Padamu, Pembancuh Kopi Mr. Vampire, Jiwa Lara, Memori Cinta Suraya dan Cinta Fatamorgana itu ada perkembangan terkini untuk dikongsikan.

“Ahamdulillah bermula Isnin lalu, drama francais komedi seram Kampung Pisang Bersiri-Siri sudah mula disiarkan menerusi Astro Citra.

“Saya membawakan watak Cik Chun iaitu penduduk tetap Kampung Pisang dan kekasih kepada Awie.



“Ini merupakan satu pengalaman baharu dan berharga buat saya apabila dapat bekerjasama dengan ramai pelakon hebat dan sutradara berpengaruh, Mamat Khalid,” tuturnya.

ANAK bongsu daripada lapan beradik ini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD jika rezeki berpihak kepadanya.

Sambung belajar

Ditebak mengenai perancangan kerjaya dan percaturan langkahnya, jika tiada aral melintang Nazeera berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Ceritanya, walaupun sibuk dengan jadual lakonan yang padat, dia telah berjaya menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) di Universiti Putra Malaysia, dua tahun lalu.



“Jika ditanya, saya memang jenis individu yang suka ilmu dan belajar. Insya-Allah jika ada rezeki saya memang berniat untuk sambung ke peringkat PhD dalam bidang perniagaan.

“Biarpun terpaksa membahagikan waktu untuk belajar dan lakonan pada masa sama, tetapi jika perancangannya betul, pasti kita boleh lakukan,” ujarnya yang mengakui pernah hampir kecundang di tengah jalan sewaktu menghabiskan pengajian Sarjana sebelum ini.

Ditanya adakah perihal sambung belajar itu dibuat atas keputusan sendiri tanpa paksaan keluarga, Nazeera mengiakan perkara tersebut.

Baginya, segala apa yang dilakukan ada visi dan matlamat peribadi yang ingin dicapai.

“Kalau ditanya kenapa saya ambil sarjana dalam perniagaan, jawapannya mudah.

“Sejak 2017 saya ada menjalankan beberapa perniagaan seperti produk penjagaan kesihatan, kosmetik dan terbaharu berasaskan makanan.

“Jadi dengan adanya kelulusan yang diiktiraf, saya dapat aplikasikan secara terus dalam perniagaan yang sedang saya usahakan. Apa yang saya belajar, itulah yang saya lakukan sekarang selain kerjaya seni,” katanya.

BERITAHU wanita berusia 34 tahun itu, dia sudah lama bersedia untuk melangkah ke fasa pernikahan jika jodoh sudah tiba.

Sudah sedia

Diaju persoalan jodoh, seiring dengan usia yang dikatakan sudah ranum untuk mempunyai pasangan hidup sekali gus bergelar isteri, Nazeera akui sudah lama bersedia ke fasa tersebut.

Tambahan pula, dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi seorang jejaka yang sebaya dengan usianya.

“Ya jujur saya sedang kenal dengan seseorang jejaka. Dia pun faham akan tuntutan kerjaya saya sebagai anak seni.

“Sebenarnya sudah lama saya bersedia untuk ke fasa itu. Tetapi apakan daya, mungkin jodoh belum tiba.

“Tipu kalau setiap wanita tidak mahukan pernikahan dalam hidupnya,” tuturnya yang meminta semua agar mendoakan kelancaran urusan jodohnya.

Menamatkan perbualan, pelakon yang pernah hadir dengan single berjudul Tetap Ada Cinta ciptaan komposer Omar K dan Ikhwan Fatanna itu berkata, bila sudah tiba masa, pasti dia sendiri akan mengumumkan soal perkahwinan.

Tata rias: @amankhal dan @hitbarber_kualalumpur

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker