Selamat Tinggal GERAK KHAS

KUALA LUMPUR: Kemampuan rumah produksi menyajikan sebuah drama bersiri untuk siaran televisyen (TV) bagi tempoh 20 tahun serta mengekalkan momentum dan ‘rencah’ dibawa dalam cerita, bukanlah pencapaian enteng.

Terlalu banyak kenangan ditempuhi Skop Productions Sdn Bhd sejak episod pertama drama kepolisan paling lama bertahan di Malaysia, Gerak Khas, dipertontonkan kepada peminat pada 5 April 1999.

Bukan tiada kisah kepolisan yang diangkat pembikin drama atau filem ketika itu, namun, kesungguhan Skop Productions membawa cerita jenayah terus ke rumah, disokong pula Polis Diraja Malaysia (PDRM), melayakkan drama bersiri ini digelar ikon dalam penerbitan drama bersiri di Malaysia.

Pada akhir 1990-an, bagi generasi yang sekarang berada dalam kelompok usia 30-an, Gerak Khas menjadi drama bersiri pilihan. Paparan watak anggota polis dan si penjahat serta ‘drama’ yang melingkari watak, menjadi tarikan kanak-kanak pada era di mana TV masih berkuasa.

 

Ungku Ismail antara pelakon Gerak Khas The Finale yang disiarkan TV3 sejak Jumaat lalu. Foto Ihsan TV3
Ungku Ismail antara pelakon Gerak Khas The Finale yang disiarkan TV3 sejak Jumaat lalu. Foto Ihsan TV3

 

Namun, setiap yang bermula, pasti berakhir. Selepas disiarkan RTM, musim terakhir Gerak Khas The Finale beralih kepada TV3 yang mula menyiarkan drama bersiri ini, sejak Jumaat lalu, membabitkan 28 episod.

Pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam yang sinonim dengan watak Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Helmi dalam drama kepolisan itu beremosi mengucapkan selamat tinggal.

“Lumrah hidup, setiap yang bermula, pasti berakhir. Bermula di RTM, sekarang Gerak Khas bakal berakhir di TV3.

“Selama ini, bukan permintaan saya untuk terus memanjangkan drama bersiri ini. Bukan saya yang menentukan, ini adalah permintaan stesen TV apabila drama bersiri ini mencapai rating dan mendapat sambutan.

“Saban musim, saya selalu berharap dan menjangka Gerak Khas akan berakhir tetapi tidak juga.

“Namun, apa yang pasti, pengakhiran drama bersiri ini datang juga,” katanya kepada BH Online.

Yusof berkata, banyak yang dilalui sepanjang tempoh 20 tahun, apatah lagi pelakon yang membintangi drama bersiri itu bertukar ganti dan menjadi nama besar sekarang.

“Datuk AC Mizal yang memegang watak Inspektor Mazlan sempat berlakon bagi tempoh lima tahun.

“Kita juga ada Rozita Che Wan, Zul Arifin, Dynas Mokhtar dan Fattah Amin yang sama-sama berlakon.

 

Erra dan Yusof menjayakan salah satu babak dalam Gerak Khas The Finale. Foto Ihsan TV3
Erra dan Yusof menjayakan salah satu babak dalam Gerak Khas The Finale. Foto Ihsan TV3

 

“Erra Fazira juga muncul untuk dua musim dan menjadi antara pelakon dalam Gerak Khas The Finale,” katanya.

Akui Yusof, tidak mudah mempertahankan Gerak Khas apabila bukan semua penonton suka dengan apa yang disajikan.

“Biasalah, apabila lama sangat, ada pihak tertentu termasuk penerbit mempersoalkan kenapa siarannya panjang.

“Tidak kurang juga yang bertanya, tidak habis-habis lagi musim Gerak Khas?” katanya.

Yusof melihat komen seumpama itu berbaur cemburu atau negatif. Malah, katanya, ada pihak melemparkan tuduhan beliau menggunakan ‘kabel’ hingga berjumpa menteri agar Gerak Khas ‘kebal’.

“Hakikatnya, Gerak Khas ada kelompok peminat. Apabila digemari, drama itu secara tidak langsung memberi pendapatan kepada stesen penyiaran.

“Jadi, saya biarkan drama itu sendiri berbicara. Saya tidak pernah menjangka Gerak Khas bertahan lama,” katanya.

Ditanya apakah rahsia siri drama itu terus bertahan dan diterima ramai, bapa kepada pengarah muda, Syamsul dan Syafiq ini percaya Gerak Khas dekat dengan penonton.

“Isi cerita utama drama ini berkisar jenayah, urusan harian, pengalaman hidup, konflik dan isu semasa.

“Saya anggap tuah dan rezeki apabila drama ini diterima dalam tempoh lama.

“Jika diikutkan, saya menerbitkan drama kepolisan lebih awal iaitu Remang Remang Kota Raya.

“Ketika itu, pada 1985, saya berusia 30 tahun. Namun, drama itu tidak bertahan lama.

“Sekarang, saya sudah berusia 66 tahun dan dengan izin Tuhan, drama saya seperti Gerak Khas diminati,” katanya.

Yusof berkata, idea menerbitkan Gerak Khas timbul melalui input daripada persekitaran.

“Apabila berkawan dengan pegawai polis, saya mendapat idea dan mengembangkannya.

“Mereka banyak memberi nasihat dan kerjasama sekali gus memudahkan apa yang saya mahu lakukan.

“Jasa anggota polis terhadap masyarakat dan negara dalam membanteras jenayah, saya angkat dalam siri drama ini,” katanya.

Ahad lalu, Yusof dan Erra muncul dalam sidang media virtual mempromosikan Gerak Khas The Finale dan ditemuramah dalam program hiburan, Melodi terbitan TV3.

[VIDEO] Setelah 21 Tahun Ditayangkan, Drama Gerak Khas Kini Masuk Ke Season Finale

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker