Pemerolehan hartanah TH Plantation oleh Tamaco ditarik balik

KELULUSAN pemerolehan hartanah TH Plantation Berhad (THP) secara tidak langsung oleh Tamaco Plantation Sdn. Bhd. dan Maju Warisanmas Sdn. Bhd. telah ditarik balik.

Keputusan tersebut dibuat secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed (Ekonomi) dan Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Hal Ehwal Agama).

Menurut mereka, penarikan balik itu mengambil kira pelbagai faktor dan keputusan tersebut telah dibuat pada 4 Disember lalu.

“Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa antarabangsa.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Surat kelulusan kepada syarikat terbabit dikeluarkan pada 24 November lalu dengan syarat Tamaco perlu mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepetingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

Isu penjualan aset anak syarikat Tabung Haji itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu mendedahkan surat kelulusan tersebut yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Surat ini telah memberi kebenaran kepada TH Plantations bagi menjual lebih 6,514 hektar ladang sawit di Sarawak kepada sebuah syarikat bukan bumiputera bernama Tamaco.

“Saya sangat bimbang bukan sahaja dari sudut ekonomi umat, tetapi ia juga akan memberi kesan kepada survivaliti kerajaan Perikatan Nasional. Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, kepercayaan rakyat terutama umat Islam akan merudum,” kata Abdul Azeez.

Abdul Azeez berkata, dari sudut ekonomi penjualan sebanyak RM170 juta berbanding penilaian JPPH RM224 juta juga tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi.

“Ini kerana, harga CPO (minyak sawit mentah) sedang melonjak ke paras RM3400 setiap tan dan semua syarikat perladangan sedang menikmati keuntungan.

“Begitu juga, ladang ini sebenarnya berada berhampiran dengan Lebuhraya Pan Borneo dan tidak jauh daripada pembangunan Kalimantan yang akan menjadi ibu kota baru Indonesia.

“Pelaburan-pelaburan yang mencecah $AS160 bilion di Kalimantan dalam tempoh 20 tahun sudah tentunya akan memberikan nilai strategik kepada ladang-ladang ini,” kata Abdul Azeez.-SM

Kenapa penjualan Aset Tabung Haji masih diteruskan sehingga kini?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker