Janji manis ‘si janda’

Beijing: Akibat kemaruk cinta janda, warga emas di China berputih mata apabila menjadi mangsa putar alam seorang lelaki yang menyamar sebagai janda dengan nilai kerugian RM267,742.

Chen Tran, 70, dari Quanzhou, Fujian tidak pernah menyangka Vuong Tam Lan, ‘janda’ yang mengaku jatuh cinta kepadanya rupa-rupanya penipu.

Lapor Tribun News, Chen berkenalan dengan Vuong, 35, menerusi sebuah platform dalam talian yang popular.

Menurut Chen, Vuong yang menggunakan gambar profil wanita cantik mengaku dia sudah berpisah dengan suaminya dan kini menjawat jawatan sebagai ketua bank pelaburan di wilayah Anhui.

Pertuturan dan penampilan ceria Vuong menarik perhatian Chen, malah lelaki itu menganggap wanita itu anugerah terindah Tuhan untuknya.

Dalam tempoh tiga hari menjalin hubungan cinta, mereka saling memanggil nama manja umpama sepasang suami isteri.

Malah, Vuong berjanji mahu menempah tiket pesawat bertemu dan mengimpikan melahirkan anak lelaki mereka, membuatkan Chen menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya.

Namun, Vuong mengadu masalah memerlukan wang untuk projek institusi kewangannya mengembangkan perniagaan pengangkutan, malah dia sendiri sudah melabur 600,000 Yuan (RM373,594), namun modal masih tidak mencukupi.

Chen yang mabuk cinta itu, sanggup mengirimkan wang kepada wanita itu menerusi transaksi dalam talian hingga nilainya mencecah keseluruhan 430,000 Yuan (RM267,742) tanpa sedar.

Chen akhirnya menyedari ditipu, apabila Vuong hilang tanpa kesan dan tidak lagi menghubungi Chen selepas mendapat wang itu.

Sementara itu, siasatan polis mengesahkan, pengguna akaun Wang Xin Lan sebenarnya milik seorang lelaki di Ham Duong, Shaanxi yang dibeli dengan harga 70,000 Yuan (RM43,586).

Sehingga kini, kes berkenaan masih disiasat polis.-Agensi

Wanita ini jual Nama Nasi Lemak JANDA jadi Hangat buat Netizen. Pemilik Gerai jawab balik PADU…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker