Penyatuan ummah sia-sia jika PAS utamakan PPBM, kata penganalisis



Penyatuan ummah yang diuar-uarkan PAS dan UMNO akan jadi ‘perjuangan sia-sia’ jika parti Islam itu terus mengutamakan hubungannya dengan PPBM dan ‘dingin’ terhadap UMNO, kata seorang penganalisis politik.

Mengatakan perpecahan dengan UMNO akan merugikan pakatan serta PAS dan PPBM, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata PAS yang tidak konsisten menyebabkan pemimpin Umno terasa hati dan keresahan itu semakin ketara.

“Dalam hubungan UMNO-PAS ini, PPBM boleh dilihat sebagai pihak ketiga, ibarat kewujudan orang ketiga dalam pasangan kekasih,” katanya kepada FMT.

Awang Azman percaya kecenderungan PAS itu mungkin kerana UMNO kurang berkuasa berbanding PPBM, yang memegang jawatan tertinggi kerajaan dan kata putus dalam setiap keputusan tertinggi negara.

Selain itu, PPBM mengisi kelemahan PAS yang kurang berpengaruh di pantai barat Semenanjung, seperti parti serpihan UMNO, Semangat 46, satu ketika dulu.




“Jalan selamat kepada UMNO-PAS-PPBM jika mahu terus berkuasa pada pilihan raya umum ke-15 ialah PAS harus keluar dari Perikatan Nasional dan fokus kepada Muafakat Nasional sahaja,” katanya.

Awang Azman berpandangan PAS harus memikirkan semula rakan politik yang boleh membawa kepada kemenangan besar.

“Manakala PPBM perlu akur kepada tuntutan MN dan realiti semasa bahawa UMNO ialah parti yang kukuh dari segi akar umbi dan kini bangkit semula,” kata beliau.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob, yang juga menteri besar Kelantan, pada 2 Dis berkata usaha mengekalkan perpaduan Melayu menerusi perjuangan politik tidak boleh mengenepikan PPBM, dan pergerakan parti Melayu juga perlu melibatkan parti serpihan UMNO itu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin, yang berkata kekuatan partinya dan PAS sudah mencukupi untuk menjadi dominan.




UMNO Kelantan pula kurang jelas sama ada PAS ingin meneruskan MN atau sebaliknya susulan kenyataan Ahmad itu, mengatakan mereka akan bertembung di semua kerusi pada PRU-15 “sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengetepikan MN yang telah disepakati”.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia bagaimanapun berkata kenyataan Ahmad itu selaras pendirian PAS dan UMNO yang mahu mengukuhkan MN dengan melibatkan PPBM.

Tafsiran lain, katanya, “perkara yang tiada seperti diada-adakan”.

Justeru, hasrat menubuhkan majlis presiden yang diumumkan Presiden PPBM, Muyiddin Yassin, baru-baru ini harus segera dilaksanakan bagi melancarkan pakatan itu.

“Majlis presiden ini harus diperluaskan ke peringkat negeri dengan melibatkan pengerusi parti peringkat negeri pula.




“Di sinilah tempatnya kalau nak bergaduh, berbincang atau berunding, bukan jadikan media sebagai platform berbalah,” katanya.

Jawatankuasa Pemandu MN mengundang PPBM menyertai MN secara rasmi pada Ogos, diikuti jawapan rasmi PPBM menyatakan kesediaan berbuat demikian pada bulan sama.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bagaimanapun berkata akar umbi parti itu tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai MN. FMT

7 sebab kenapa Penyatuan Ummah dan Piagam Muafakat Nasional perlu disokong oleh rakyat Sabah.



Leave a Reply

Your email address will not be published.