7 sebab kenapa Penyatuan Ummah dan Piagam Muafakat Nasional perlu disokong oleh rakyat Sabah.

Share


1. DEMOKRASI
* Negara ini mengamalkan demokrasi. Sesiapa pun boleh bergabung dalam mana-mana platform politik atau massa asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang. Hak itu dilindungi oleh perlembagaan negara. DAP pernah bergabung dengan PAS. PPBM dan DAP pun bergabung walaupun satu ketika dulu pemimpin mereka bermusuhan. Itu hak masing-masing.

2. PELUANG KEEMASAN PENYATUAN BANGSA
* Inilah yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh umat Melayu dan bumiputera. Selama ini Melayu dan bumiputera berpecah dan sering tidak sekata. Mereka mahu kesempatan ini diambil dan digunakan sebaik mungkin. Mereka tidak mahu jendela kesempatan ini disia-siakan oleh pemimpin-pemimpin politik. Peluang penyatuan seperti ini tidak mudah datang lagi dalam puluhan tahun mendatang. Masa, tempat dan keadaannya sekarang tepat dan sesuai untuk gerakan penyatuan ini.

3. TIDAK RASIS DAN BUKAN PELAMPAU AGAMA
* Penyatuan Ummah telah melahirkan Piagam Muafakat Nasional yang jelas menyatakan bahawa ianya akan mempertahankan dan memelihara kepentingan sah kaum-kaum lain dalam negara kita. Orang bukan Islam dan bukan bumiputera tidak perlu bimbang. Selama ini pentadbiran kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan PAS tetap berlaku adil kepada semua pihak. Semua rakyat hidup aman damai. Semua boleh cari rezeki dengan selesa dan membina masa depan masing-masing dengan keyakinan dan keadilan.

4. KESTABILAN NEGARA
* Melayu dan Bumiputera merupakan 70% daripada jumlah penduduk Malaysia. Sejarah telah menunjukkan bahawa jika kumpulan penduduk majoriti dalam mana-mana negara di dunia merasa resah, gelisah, panik, kecewa dan tersisih, negara tersebut tidak akan stabil. Bila penduduk majoriti merasa aman, selesa dan yakin, negara itu akan stabil dari sudut politik, sosial dan ekonomi. Kestabilan ini baik untuk semua kaum termasuk kaum minoriti.

5. BUKTI MALAYSIA BOLEH
* Penduduk Islam Malaysia mahu mengambil peluang ini untuk membukitkan bahawa kebangkitan penyatuan umat Islam ini tidak semestinya berakhir dengan keganasan dan huru-hara seperti apa yang berlaku di Asia Barat dan Timur Tengah. Inilah peluang besar untuk Malaysia menunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu berjiwa besar dan cintakan keamanan.

6. PENCETUS KESEDERHANAAN
* Sesetengah pihak sering melabel UMNO sebagai terlalu “merah” dan PAS pula terlalu “hijau”. Dengan gabungan kerjasama di bawah konsep penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini, pastinya kedua-dua pihak akan saling nasihat menasihati tentang perlunya kesederhanaan dalam pendekatan masing-masing. Mereka boleh ingat mengingati bahawa untuk menjadi releven kepada seluruh rakyat Malaysia, konsep penyatuan ummah dan Muafakat Nasional mesti merangkumi janji untuk tidak mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain. Dalam ucapan-ucapan dan kenyataan pimpinan tertinggi UMNO dan PAS sebelum ini tidak pernah menyebut penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini diujudkan untuk menganiaya mana-mana pihak kerana agama Islam tegas melarang berbuat demikian. Malah mereka menyebut berkali-kali bahawa penyatuan ummah ini adalah untuk kebaikan semua pihak dalam Malaysia.

7. MENGIMBANGI KUASA EKONOMI
* Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional juga bakal memperkukuhkan ekonomi bumiputera dan umat Islam supaya bertambah kukuh. Bila kukuh, pendapatan Melayu dan bumiputera juga pastinya akan meningkat. Akhirnya yang turut mendapat manfaat ialah golongan usahawan kaum bukan bumiputera juga kerana mereka sememangnya sudah bertapak lama dalam bidang ekonomi. Tidak akan ujud situasi di mana segala transaksi ekonomi negara akan mengecualikan orang bukan Islam dan bukan bumiputera. Itu perkara mustahil.

Saya berharap rakyat Malaysia keseluruhannya akan menerima penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini dengan positif dan hati yang terbuka.

Gerakan penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini tidak akan mungkin dapat digagalkan oleh mana-mana pihak kerana ianya bermula dan bertunjangkan gerakan akar umbi yang resah dan gelisah dengan perkembangan terkini dalam negara. Bila gerakan rakyat bangkit, ianya satu kebangkitan yang susah untuk dibendung. Ianya sudah dan sedang berlaku dan akan berterusan. Inilah bentuk landskap politik terbaru tanah air kita dan semua pihak perlu menerima hakikat ini.

Lebih cepat kita mengikhtiraf dan memahaminya bersama, lebih banyak kebaikan yang kita dapat darinya, demi kestabilan negara dan kemakmuran rakyatnya. InsyaAllah.

Sekian.

____

Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan,
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran,
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

23.09.19
Kota Kinabalu



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *