Tiga beranak maut dalam kebakaran bilik sewa

KAMPAR: Seorang ibu bersama dua anaknya ditemui maut dalam kebakaran bilik sewa mereka di tingkat satu sebuah rumah kedai tiga tingkat di Taman Bandar Baru, di sini, hari ini.

Mangsa, seorang jururawat, R. Kartiga 35, anak perempuannya, S. Harrshikka, 6, dan anak lelakinya, S. Shaarhveesh, 12, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian disedari orang awam yang terlihat asap dari bilik sewa tersebut dan terus menghubungi pihak polis dan bomba.

Menurutnya, sekitar jam 10.13 pagi, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Bilik tersebut dalam keadaan berkunci dan pihak bomba terpaksa memecah pintu untuk memadamkan kebakaran dan setelah pintu dipecahkan dapati api marak pada bahagian katil yang berada di tengah bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasron Nazri berkata, selepas berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 10.16 pagi, bomba menemui tiga mayat mangsa di atas katil.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah menjumpai satu dompet yang mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa dan anaknya.

Katanya, siasatan mendapati bilik tersebut disewa oleh mangsa bersama dua anaknya sejak enam tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

Beliau berkata, siasatan yang turut disertai Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mendapati pintu depan dalam keadaan berkunci dari dalam.

“Ketiga-tiga mayat mangsa ditemui di atas katil yang berkedudukan lebih kurang 1.5 meter dari pintu utama dan turut ditemui adalah satu tong minyak petrol di belakang almari pakaian dan kesan renjisan mintak petrol di dinding bilik,” ujarnya.

Menurut Hasron Nazri, berdasarkan maklumat daripada rakan baik mangsa di Hospital Kampar, jururawat itu sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinan selain mengalami kemurungan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya motif kejadian adalah bunuh diri namun masih menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Orang ramai di negara ini dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.
Awani

Lelaki maut, dipijak berkali-kali di Kampar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker