Lelaki maut, dipijak berkali-kali di Kampar

Share

Seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas dipukul dan dipijak berkali-kali di belakang rumahnya di Kampung Batu Putih Kampar.

Mangsa yang kemudiannya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dilaporkan meninggal dunia jam 3.30 petang, 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan di kepala disebabkan objek tumpul.


“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh,” dalam satu kenyataan malam tadi.

Hasron Nazri berkata, pada kira-kira jam 1 tengah hari 21 Ogos lalu mangsa dijumpai dalam keadaan berdarah serta tidak sedarkan diri di belakang rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Kampar.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke HRPB apabila pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah tulang leher dan rahang serta koma.


“Mangsa dalam keadaan tidak stabil dan hasil pemeriksaan luaran didapati terdapat bengkak di bahagian kiri kepala dan luka di dada.

“Hasil imbasan di kepala dan leher didapati mangsa mengalami pendarahan otak di sebelah kiri dan retak tulang leher. Kecederaan kemungkinan terjatuh sendiri, dipukul atau kemalangan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu laporan polis dibuat di Balai Polis Kampar oleh adik mangsa pada 28 Ogos lalu.


Susulan kejadian itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun di Jalan Besar Tapah, dekat sini, 30 Ogos lalu.

“Hasil temubual awal suspek mengaku bergaduh dan memijak bahagian kepala dan leher mangsa beberapa kali,” katanya. BH

Leave a Reply