Kemelut Politik Di Perak: Nasi Belum Menjadi Bubur
Satu perkara yang cukup jelas adalah bahawa perlantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dahulu adalah dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Ada rekod terbuka yang dilaporkan oleh media bahawa UMNO, BERSATU dan PAS mempersembahkan nama Pengerusi/Pesuruhjaya masing-masing kepada Sultan Perak.
Tiga nama Menteri Besar yang dicalonkan oleh UMNO, BERSATU dan PAS ini ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Saarani Mohamad dan Mohamad Razman Zakaria.
Dalam warkah bertarikh 11 Mac 2020 itu, mereka bertiga menyatakan komitmen untuk menyokong siapa sahaja yang dipilih oleh Sultan Perak menjadi Menteri Besar.
Begitupun, pada 4 Disember 2020, ternyata UMNO, atas sebab-sebab yang hanya mereka sendiri sahaja tahu, tidak lagi menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Masalah timbul bila penarikan balik sokongan UMNO ke atas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ini tidak dirundingkan terlebih dahulu dengan BERSATU dan PAS.
Sudah tentulah ada kecederaan-kecederaan tertentu yang dialami oleh BERSATU dan PAS bila UMNO melakukan tindakan secara bersendirian yang memalukan mereka.
Begitupun, nasi belum menjadi bubur, seperti kata P Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula sesama parti, buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi.
Disebabkan UMNO sudah menjemput balik BERSATU dan PAS untuk menyertai kerajaan negeri maka harapan untuk melihat kerajaan sedia ada ditubuhkan balik masih ada.
Semoga semua pihak akan berlapang dada untuk mengakui kesilapan masing-masing dan saling bermaaf-maafan untuk memulakan episod baru pemerintahan kerajaan negeri.
Kepada yang menjadi ketua, perlulah dipastikan bahawa segala tindakan mereka, khususnya yang melibatkan kepentingan parti rakan, akan dirundingkan dengan parti rakan.
Kepada yang menjadi rakan, perlulah dipastikan bahawa segala permasalahan mereka dikemukakan mengikut saluran terlebih dahulu supaya hubungan tidak berantakan.
Pihak-pihak yang mengalami kecederaan-kecederaan tertentu khususnya perlulah dirawat dan diubati terlebih dahulu bagi membolehkan mereka kembali berfungsi dengan baik.
Dan seperti sebelumnya, berilah kepercayaan kepada Sultan Perak untuk memilih siapa sahaja dari nama-nama yang dicalonkan dan berilah sokongan sepenuhnya kepada yang dipilih.
Di dalam suasana pandemik COVID-19 ini, ketepikanlah kepentingan diri/parti demi kemaslahatan rakyat jelata serta kestabilan ekonomi, politik dan sosial negeri/negara.
Dr. Kamarul Yusoff
PAS akan bincang kemelut politik di Perak
You must be logged in to post a comment.