PAS akan bincang kemelut politik di Perak

PAS akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kemelut politik di Perak, selepas Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti Adun menerusi usul undi percaya semalam.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa perkara perlu dibincangkan, khasnya membabitkan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“PAS sendiri tidak dibawa berbincang lebih awal oleh Umno mengenai usul itu. Apapun, PAS yakin akan ada jalan penyelesaian yang akan diambil Umno berkaitan isu itu.

“PAS sendiri telah buat kenyataan rasmi berkaitan perkara itu,” katanya selepas melawat beberapa taman perumahan yang terjejas akibat banjir di Wakaf Stan, Kubang Kerian hari ini.

Semalam, PAS membuat ketetapan tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baru.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, PAS akan terus berperanan seperti biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

Semalam, Faizal hanya mendapat sokongan 10 Adun dalam usul undi percaya terhadapnya, berbanding 48 wakil rakyat yang menolak dan 1 undi rosak.

Usul itu dibawakan Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 Adun sebagai menteri besar.

DUN Perak merangkumi 25 Adun Barisan Nasional yang semuanya Umno, DAP (16), Amanah (5), PPBM (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan bebas masing-masing seorang.

Mengulas isu itu, Tuan Ibrahim berkata, apa yang diharapkan untuk kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan itu bukannya kerajaan yang dikuasai pembangkang.

“Ia harus kekal di bawah kerajaan PN. Ini perlu dijaga dan kalau ada apa masalah, perlu ada perundingan bersama. Apapun, saya menghormati Umno dan yakin parti itu ada jalan penyelesaian.” Bernama

Kemelut politik Perak: Perlantikan MB baharu adalah ‘Jalan Penyelesaian’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker