Kemelut politik Perak: Perlantikan MB baharu adalah ‘Jalan Penyelesaian’

KUALA LUMPUR: Pelantikan jawatan Menteri Besar baharu adalah penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik di Perak ketika ini dengan calon yang dikemuka perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemelut jawatan Menteri Besar di Perak juga boleh diselesaikan tanpa perlu heret ke kancah pembubaran DUN.

“Barangkali mengikut jumlah kerusi dimiliki UMNO, calon (Menteri Besar) boleh datang dari UMNO. Malahan UMNO pernah berminat dengan kerusi Menteri Besar pada Mac lalu.

“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ada beberapa pilihan termasuk membuat pelantikan seperti 2009 jika ada calon dipercayai mendapat sokongan majoriti (ADUN) atau pembubaran DUN. Pilihan terbaik kini adalah pelantikan baharu sebagaimana pendekatan Agong pada Mac lalu,” katanya.

Krisis politik melanda negara awal tahun ini ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Nasrudin Mohamed, berkata kemelut membabitkan Perikatan Nasional (PN) di Perak sebenarnya sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, apa yang berlaku hari ini adalah pengakhiran terhadap ‘krisis senyap’ yang antara lain berkisar mengenai layanan Menteri Besar terhadap parti komponen lain terutama UMNO, yang memiliki majoriti ADUN dalam kerajaannya.

“Dalam keadaan sekarang, UMNO dilihat sebagai pihak yang berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab kepemimpinan tertinggi di negeri itu. Apatah lagi bila dipertimbangkan pendirian PAS yang menjauhkan diri daripada senario semasa.

“Peralihan kepemimpinan negeri seharusnya dapat dilakukan dengan cermat dan selancar mungkin tanpa membabitkan keseluruhan struktur kerajaan. Ini bergantung juga sejauh mana kuatnya sentimen menyelubungi PN membabitkan UMNO dan BERSATU,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman yang berlaku sebelum ini, senario kali ini sekali lagi bergantung sepenuhnya kepada hemah dan Sultan Perak dalam membuat pilihan terbaik demi kesejahteraan negeri itu.

Pagi tadi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul berkenaan manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, BERSATU (lima), PAS (tiga), DAP (16), PKR (tiga), AMANAH (lima) dan masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker