[FOTO] Anak, Ibu Mentua Shafiq Selamat Dikebumikan

PENDANG – Jenazah ibu mentua dan bayi lelaki pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Murai, Kampung Padang Pusing di sini kira-kira pukul 8.25 malam tadi.

Muhammad Syafiq ditenangkan ibunya semasa menatap jenazah anak lelaki dan ibu mentuanya buat kali terakhir di Pendang hari ini.

Terdahulu, jenazah tiba Zainab Wahab, 46, dan Muhammad Aisy Saqeef yang berusia 22 hari tiba di kediaman keluarga isteri Muhammad Syafiq, Nur Amalina Norain, 25, di Kampung Padang Pusing di sini pada pukul 5.55 petang.

Jenazah kemudian disembahyangkan di rumah keluarga Nur Amalina sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Muhammad Syafiq memangku jenazah anaknya sambil mengiringi jenazah ibu mentuanya ke tanah perkuburan.

Turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan ahli keluarga serta penduduk kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, Muhammad Syafiq yang juga penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap.

Kemalangan turut mengakibatkan ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainab dan warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an maut.

Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak, Aaira Nur Saffiya, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina dilaporkan cedera parah.

Sementara itu, Norain Shahadan, 50, yang merupakan bapa kepada Nur Amalina berkata arwah isterinya ada menghubunginya dua hari lalu dan meminta untuk mengemaskan rumah kerana ingin membawa balik cucu baharu mereka ke kampung.

“Saya menerima berita itu dari besan, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubungi saya sekitar 6 pagi tadi. Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan isteri dan cucu sulung lelaki maut dalam kemalangan tetapi saya reda dengan ketentuan Allah.

“Saya hanya sempat berbual sekejap sahaja dengan isteri dan ketika itu dia maklumkan hendak pulang ke rumah apabila boleh merentas negeri selepas berada di rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu,” katanya.

Upacara pengebumian itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman, beberapa pemain Kedah dan juga rombongan daripada Johor termasuk para pemain JDT.

BERNAMA

[VIDEO] Jenazah bayi, ibu mentua Syafiq dibawa ke Pendang

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker