PEMBONGKARAN Gudang kartel proses daging BABI
PEMBONGKARAN secara eksklusif berkaitan kegiatan kartel daging sejuk tidak halal sejak beberapa hari lalu menemui satu lagi kejutan menggemparkan.
Siasatan pihak berkuasa mendapati gudang haram yang dikenakan tindakan sita dalam serbuan pihak berkuasa kelmarin bukan sahaja membungkus semula daging sejuk beku dari sumber yang tidak sah malah turut menerima kemasukan daging babi di situ.
Perkara itu terbukti apabila siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui resit penghantaran pesanan (delivery order) bagi membawa keluar organ dalaman iaitu perut babi daripada premis berkenaan yang bertarikh 5 November 2020.
Difahamkan dokumen berkenaan ditemui ketika pemeriksaan rapi dilakukan ke atas beberapa dokumen penting syarikat itu.
Tulisan berkenaan ditulis dalam bahasa Mandarin serta tertera perkataan dalam bahasa Melayu bertulis ‘perut babi’ berjumlah 50 kotak dengan anggaran keseluruhannya seberat satu tan.
Sumber JKDM berkata, siasatan lanjut terus dilaksanakan ke atas pekerja syarikat sebaik sahaja resit penerimaan daging babi itu ditemukan.
“Bagaimanapun, soal siasat terhadap pekerja asing yang ditemui di asrama pekerja gudang terbabit tidak mengaku bahawa mereka terlibat menulis dan mengesahkan penerimaan daging babi berkenaan berdasarkan tanda tangan pada dokumen itu.
“Bila kita rujuk semula dengan penyelia gudang, dia mengatakan bahawa ia ditulis oleh pekerja warga asing di situ. Itu amat mencurigakan.
“Kita sendiri telah panggil pekerja warga Bangladesh dan Indonesia di situ dan mereka sendiri kata mereka tidak pernah buat kerja dokumentasi, hanya ditugaskan kerja-kerja seperti pemunggahan, mengangkat dan susun daging,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyoal siasat pekerja warga asing gudang terbabit berkenaan dakwaan mengatakan mereka menulis dan mengetahui tempahan perut babi seperti di dalam catatan buku delivery order tersebut.
Menurut sumber itu lagi, adalah mustahil pekerja asing yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan Melayu menulis di buku terbabit.
“Ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pekerja warga Indonesia yang disiasat berkata, mereka hanya melakukan tugas membawa forklift sahaja.
“Kami semua tidak tahu tentang buku itu. Bukan kami yang tulis. Kerja kami di sini hanya membuat kerja-kerja berat sahaja,” katanya.
Tiada pemilikan sijil halal
JAINJ juga mengesahkan, gudang pembekal daging sejuk beku di Senai, di sini tiada pemilikan sijil halal yang sah.
Sumber JAINJ berkata, selepas pemeriksaan, pihaknya mendapati syarikat terbabit memalsukan kotak, pelekat dan logo halal sekali gus status daging yang terdapat di gudang terbabit adalah diragui.
“Bila kita periksa di dalam tempat simpanan daging sejuk beku itu, kita jumpa beberapa kotak berisi organ dalaman iaitu organ perut yang dipercayai menggunakan logo halal palsu.
“Syarikat itu sememangnya mengelirukan pengguna Islam terutamanya kononnya daging itu adalah sah.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lebih tegas,” katanya.
Filem Baru Namewee, ada perkataan ‘Melayu’ selepas tajuk ‘Babi’
Seludup kaki itik dan kaki angsa
Sementara itu, pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendapati terdapat daging sejuk beku membabitkan daging itik dan kaki angsa.
Dipercayai daging itik itu dibawa masuk dari Perancis manakala terdapat daging-daging sejuk beku yang lain dibawa masuk dari negara seperti United Kingdom, Itali, Belgium dan Sepanyol berdasarkan tag dan label pada kotak.
Pihak berkuasa menemui buku delivery order yang memaparkan penerimaan organ berupa perut babi sebanyak 50 kotak di gudang itu.
Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Maqis, Siti Nur Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati gudang berkenaan memiliki beberapa penama syarikat yang mencurigakan.
“Salah satu nama syarikat terbabit mengaitkan nama pengusaha industri buah-buahan.
“Dipercayai ia adalah sebagai dummy. Kita juga dapati alamat syarikat yang tertera menggunakan alamat rumah, alamat syarikat lain serta alamat tidak wujud,” katanya.
Semalam, pihak berkuasa memantau 24 jam gudang kartel daging sejuk beku berkenaan bagi mengelakkan bahan bukti utama tersebut hilang atau dilarikan kumpulan sindiket berkenaan.
Daging sejuk beku yang diseludup masuk tanpa pengesahan halal tersebut masih dalam proses dokumentasi sebelum dibawa keluar untuk tindakan lanjut.
Difahamkan proses tersebut mengambil masa yang agak panjang kerana jumlah sitaan yang begitu besar.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan menerima laporan berhubung pembongkaran itu.
Kelmarin, Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi mendedahkan kegiatan penyeludupan masuk daging sejuk beku dari Ukraine, Brazil, Argentina dan China itu dilakukan sindiket dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuklah borang kastam, permit import, sijil halal dan resit bayaran.
melampau apa telah dilakukan oleh kafir harbi ni, apakah hukumannya nanti berat?