[VIDEO] Suspek Nekad Rempuh Pagar Larikan Diri Daripada Polis Berjaya Ditahan

AMPANG JAYA – Tindakan nekad seorang lelaki merempuh pagar sebuah premis menjual kereta terpakai dalam usaha melarikan diri daripada pemeriksaan pihak polis hanyalah sia-sia apabila dia akhirnya berjaya ditahan di Kampung Melayu Tambahan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam tentang seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta berdekatan sebuah kedai mencuci kenderaan di Jalan Kolam Air Lama di sini kira-kira pukul 10.15 pagi.



“Anggota unit peronda yang melakukan pemeriksaan telah berjaya mengejutkan lelaki berkenaan namun lelaki itu tidak mahu membuka pintu kereta dan terus memecut laju malah suspek turut melanggar sebuah kereta milik orang awam dalam usahanya untuk melarikan diri.

“Anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut menghala ke pusat bandar dan ketika melalui Jalan Tun Razak, suspek telah masuk ke kawasan Kampung Baru lalu berhenti di dalam kawasan premis menjual kereta terpakai dan orang awam yang terlihat kejadian itu telah bertindak menutup pagar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, anggota polis terpaksa memecahkan cermin tingkap kereta tersebut untuk membuat tangkapan namun suspek berjaya melarikan diri dengan merempuh pagar premis tersebut.



“Kira-kira pukul 11.15 pagi hari yang sama, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menangkap seorang lelaki di sebuah bengkel di Kampung Melayu Tambahan, Ampang kerana disyaki terlibat dengan kes curi motosikal di daerah Dang Wangi.

“Semakan yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek yang sama dan dikesan mempunyai 13 rekod jenayah lampau melibatkan sembilan rekod jenayah dan empat rekod narkotik,” jelas beliau.

Tambah Mohamad Farouk, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 1 minit 24 saat tular di laman media sosial memaparkan tindakan seorang pemandu kereta merempuh pagar sebuah premis dalam usaha melarikan diri daripada pihak polis.



[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cUa_vATmudQ[/embedyt]

Abang nekad rempuh, tahan pencuri kereta adik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker