Tiada laporan pedofilia babit masyarakat Orang Asli

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak menerima sebarang laporan berkenaan kes pedofilia membabitkan masyarakat berkenaan seperti didakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata NGO berkenaan juga tidak memberikan bukti laporan polis apatah lagi data sahih bagi menyokong dakwaan terbabit.

Bagaimanapun, katanya JAKOA memandang serius dakwaan itu dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama rapat dengan mana-mana agensi kerajaan, NGO dan individu dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai isu pedofilia.

“JAKOA menerima pandangan mana-mana NGO dengan hati terbuka tetapi mengingatkan bahawa isu itu bukan spesifik kepada Orang Asli sahaja kerana pedofilia adalah gangguan jiwa yang berlaku dalam mana-mana masyarakat.

“NGO terbabit sewajarnya membuat kenyataan berlandaskan pembuktian kukuh, bukan ‘hearsay’ (dengar cakap),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan sebuah NGO bahawa terdapat kes pedofilia dalam kalangan masyarakat Orang Asli di satu perkampungan di Negeri Sembilan.

Pertubuhan itu dikhabarkan menerima maklumat itu ketika menjalankan program di perkampungan berkenaan pada 29 Julai tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, siasatan pegawai JAKOA dua minggu lalu mendapati tiada laporan dibuat oleh penduduk kampung berkenaan ketika Program Jiwa Murni dan Kesejahteraan Komuniti yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan tahun lalu.

Beliau berkata, Pegawai JAKOA Daerah juga mendapatkan pengesahan daripada Batin, Pengerusi JPKKOA dan penduduk kampung terbabit bahawa tiada sebarang laporan dibuat berkenaan kes pedofilia seperti yang didakwa.

Katanya, JAKOA kesal apabila terdapat pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan dengan menimbulkan persepsi negatif terhadap masyarakat Orang Asli dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan masyarakat pribumi itu.

“Sejak ditubuhkan, JAKOA menjalinkan kerjasama yang baik antara agensi kerajaan, NGO dan individu untuk membantu memperkasakan masyarakat Orang Asli.

“Oleh yang demikian, sekali lagi dinasihatkan supaya sebarang kenyataan yang menimbulkan persepsi negatif terhadap mana-mana pihak perlu dielakkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker