Skuad Pantas LUAS mula beroperasi



Sebaran :

SHAH ALAM: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang ditubuhkan bagi meningkatkan keberkesanan tindakan pencegahan pencemaran air beroperasi secara rasmi mulai Selasa lalu.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan penubuhan skuad berkenaan adalah untuk memperkasakan lagi Ops Sumber Air Negeri Selangor dan selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021 dalam menangani masalah pencemaran air.

“Objektif utama skuad adalah untuk melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).



“Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air di Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara.

“Skuad ini juga adalah urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Fasa pertama penubuhan skuad akan diterajui oleh 15 kakitangan dan akan ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan seperti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi lain yang berkaitan.



Katanya, operasi Skuad Pantas melalui dua kaedah iaitu rondaan 24 jam ke kawasan sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA.

“Pemantauan statik (pensampelan in-situ) dengan kerjasama daripada pihak UPEN melalui pembekalan kabin dan kemudahan infrastruktur oleh PBT dan pihak Air Selangor.

“Pemantauan statik akan dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan strategik berisiko yang dikenal pasti,” katanya.



Selain itu, pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.


Sebaran :


Leave a Reply