Sisa kumbahan babi ‘hantui’ penduduk Tamparuli

Share

 

TUARAN: Pencemaran Sungai Mangkaladoi di Tamparuli yang dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa kumbahan penternakan babi di hulu sungai itu terus “menghantui” ribuan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan.

Seorang penduduk asal Kampung Mangkaladoi, Alijus Sipil berkata, pencemaran di sungai itu sudah lama berlarutan dan aduan kepada pihak berkaitan beberapa kali dibuat namun ia masih berlaku.

“Sebagai penduduk asal Kampung Mangkaladoi dan Bantayan di Tamparuli, saya amat sedih dengan pencemaran sungai yang dilakukan oleh pengusaha ternakan babi di hulu Sungai Mangkaladoi.

“Perkara ini sudah lama dilakukan pengusaha terbabit dan aduan sering dibuat kepada pemimpin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli serta pihak atau agensi kerajaan berkaitan tetapi tiada kesan dan ia (pengusaha penternakan babi) masih beroperasi sehingga kini.

“Ketika saya masih kecil, sungai itu amat bersih dan ia menjadi tempat orang kampung mengambil bekalan minuman serta mandi-manda selain dijadikan sumber pengairan aktiviti sawah padi di Kampung Mangkaladoi, Rambai, Bantayan serta Sawah,” katanya kepada FMT.

Alijus berkata, banyak sawah padi di sekitar kawasan berkenaan sudah tidak diusahakan lagi berikutan pencemaran Sungai Mangkaladoi.

“Saya harap jabatan atau agensi kerajaan berkaitan meneruskan tindakan dan siasatan yang dimulakan menerusi Pejabat Daerah Tuaran sebelum ini.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan serta aktiviti pertanian di sepanjang sungai yang tercemar itu.

“Selain itu, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mengakibatkan Sungai Mangkaladoi tercemar agar ia menjadi pengajaran dan tidak berlaku di tempat lain di Sabah,” katanya.

FMT cuba mendapatkan respons daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berhubung perkara itu.

Leave a Reply