Peguam dituduh tipu klien RM67,000 untuk ‘lepas’ dari tangkapan SPRM

Share

SHAH ALAM: Seorang peguam hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 4 pertuduhan menipu kliennya sebanyak RM67,000.

P Nagarajan didakwa mengambil wang itu daripada S Bala Krishanan sebagai ‘imbuhan’ untuk membantunya mengelak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan SPRM itu dikatakan melibatkan dakwaan kes pecah amanah di GLC, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Bala Krishnan dikatakan membayar tertuduh RM67,000 melalui cek dan pemindahan wang ATM ke akaun firma undang-undang Tetuan Nagarajan Peri & Co.

Nagarajan, 52, didakwa melakukan empat kesalahan itu di beberapa bank dan tempat letak kereta di Kajang antara September hingga November tahun lalu.

Beliau dituduh bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga10 tahun, sebatan, dan denda jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa SPRM, Zander Lim Wai Keong, mencadangkan ikat jamin RM50,000 untuk tertuduh manakala peguambela R Vikram mahu ia dikurangkan kepada RM20,000.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan satu penjamin dan mengarahkan Nagarajan menyerahkan pasportnya ke mahkamah sehingga pelupusan kes berkenaan.

Rozilah menetapkan 22 Jan untuk mendengar kes berkenaan.

Leave a Reply