Hubungan Malaysia–Kemboja Diperkukuh Menerusi Mesyuarat JCBC Selepas Dua Dekad

Hubungan Malaysia–Kemboja Diperkukuh Menerusi Mesyuarat JCBC Selepas Dua Dekad

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Hubungan dua hala Malaysia dan Kemboja terus diperkukuhkan apabila Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (Joint Commission for Bilateral Cooperation – JCBC) diadakan di Kuala Lumpur, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, TYT Prak Sokhonn, telah mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan yang merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Kemboja.

Menurut beliau, penganjuran Mesyuarat Ketiga JCBC ini amat signifikan kerana berlangsung selepas hampir dua dekad sejak mesyuarat kali kedua diadakan di Siem Reap pada tahun 2006.

“Mesyuarat JCBC ini menyediakan platform yang menyeluruh untuk menilai keseluruhan hubungan dua hala serta merangka hala tuju kerjasama yang lebih strategik antara Malaysia dan Kemboja. Selepas hampir dua dekad, mesyuarat ini pastinya memberikan momentum baharu kepada hubungan kedua-dua negara serta mencerminkan komitmen bersama untuk memperluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menandatangani Agreed Minutes Mesyuarat JCBC Ketiga yang merekodkan hasil utama perbincangan selain memperbaharui komitmen Malaysia dan Kemboja untuk terus memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Ismail Mula Tugas Sebagai MB, Barisan EXCO Dalam Penelitian

Mengulas mengenai prestasi ekonomi antara kedua-dua negara, Mohamad berkata hubungan perdagangan Malaysia–Kemboja terus menunjukkan perkembangan positif.
“Prestasi perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat membuktikan keyakinan serta hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Kemboja. Kerajaan akan terus berusaha memperluaskan peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat,” ujarnya.

Bagi tahun 2025, jumlah dagangan dua hala Malaysia–Kemboja meningkat sebanyak 27.4 peratus kepada RM5 bilion (USD1.17 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM4.13 bilion (USD970 juta), manakala import dari negara tersebut berjumlah RM880 juta (USD200 juta).

Sehingga tahun 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja mencecah USD3.20 bilion (RM13.07 bilion) melibatkan 162 projek berdaftar, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di negara berkenaan. – UMNO Online


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 Pacu Reformasi Perundangan, Perkukuh Tadbir Urus Digital

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker