Penghakiman 2 bekas hakim kanan dilindungi ‘doktrin de facto’

Mahkamah Persekutuan memutuskan penghakiman dua bekas hakim kanan, yang pelantikan mereka sebagai hakim tambahan dicabar kerana didakwa melanggar perlembagaan, adalah dilindungi “doktin de facto”.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, meskipun jika mahkamah menerima hujah bahawa pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin adalah tidak sah, namun penghakiman mereka akan kekal berdasarkan doktrin de facto.

Beliau berkata, doktrin de facto adalah bertujuan memelihara integriti keputusan kehakiman dan melindungi keputusan hakim daripada serangan kolateral.

“Jika tidak, litigan yang gagal akan menggunakan isu ini untuk menyerang kekurangan kuasa seseorang hakim sebagai alasan untuk membuat litigasi semula atau mengubah keputusan kes mereka atas alasan individu yang mendengar kes mereka bukanlah hakim,” katanya dalam penghakiman setebal 46 muka surat yang dikeluarkan semalam.

Tengku Maimun berkata, tindakan sedemikian sudah tentu akan menjejaskan prestij dan integriti sistem kehakiman serta menjerumuskannya ke lembah kehinaan.

Katanya, meskipun pelantikan seseorang hakim tidak dibuat secara “de jure”, semua keputusannya sama ada dari segi kehakiman atau pentadbiran adalah dilindungi.

Beliau berkata, bahaya yang ingin dielak oleh doktrin de facto ialah kekecohan dan kekeliruan yang mungkin timbul selepas pelantikan pembuat keputusan didapati tidak sah selain kesan yang mungkin ditinggalkan terhadap pentadbiran keadilan.

Dalam keputusan sebulat suara bagi menolak tujuh usul semakan berhubung isu itu dengan kos, Tengku Maimun berkata poin khusus yang dibangkitkan termasuk dakwaan berlaku kegagalan kourum, pelanggaran keadilan semula jadi atau ketidakadilan umum adalah tidak mempunyai merit.

“Kami berpandangan bahawa pemohon tidak berhak secara kolateral mencabar kesahihan pelantikan kedua-dua hakim melalui kesemua usul semakan ini,” katanya.

Turut bersidang Zabariah Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Panel itu mendengar semua usul pada 19 Ogos lepas, yang difailkan pemohon yang meminta agar keputusan tidak memihak kepada mereka diketepikan dan rayuan kes terbabit didengar semula.

Antara pemohon ialah waris mangsa penerbangan MH370 ke Beijing yang hilang pada 2014. Pada November 2017, ketua hakim negara ketika itu, Md Raus yang mengetuai panel lima hakim, mendengar rayuan keluarga mangsa untuk memasukkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd dan Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai pihak dalam saman mereka.

Pihak lain termasuk Yakin Tenggara Sdn Bhd, Lim Sue Beng, Tan Boon Lee dan Yong Tshu Khin serta Annie Quah Lay Nah.

Mereka mendakwa nasihat yang diberikan pendahulu Md Raus iaitu Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kedua-dua hakim sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan adalah tidak sah kerana nasihat sedemikian hanya boleh diberikan oleh ketua hakim negara ketika beliau menyandang jawatan itu.

Mereka juga mendakwa Md Raus tidak berhak menyenaraikan panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan itu dan bersidang mendengar semua kes tersebut.

Pada 7 Julai 2017, kerajaan mengumumkan bahawa Md Raus akan kekal menyandang jawatan beliau selama tiga tahun lagi mulai 4 Ogos 2017 manakala Zulkefli selama dua tahun mulai 28 Sept 2017.

Mereka sepatutnya bersara wajib pada tahun itu selepas mencecah usia 66 tahun.

Md Raus dan Zulkefli mengemukakan surat peletakan jawatan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 dan Yang di-Pertuan Agong telah memberikan perkenan baginda pada 8 Jun 2018.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pemohon bahawa doktrin itu hanya terpakai kepada pegawai bawahan dan pengantara kehakiman serta tidak boleh diguna pakai bagi hakim mahkamah atasan.

“Kami berpendapat bahawa doktrin de facto adalah terpakai bagi pelantikan berperlembagaan,” katanya. Bernama

Jangan ada campur tangan dalam penghakiman inkues Adib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker