Bursa Malaysia melonjak semula 39.55 mata

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup kukuh pada Selasa seiring pasaran serantau yang positif berikutan sentimen itu didorong oleh data China yang memberangsangkan dan harapan yang berterusan terhadap vaksin COVID-19.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.5 peratus atau 39.55 mata kepada 1,602.26, diterajui terutamanya oleh perkhidmatan kewangan, produk dan perkhidmatan perindustrian serta sektor perladangan.

Indeks itu dibuka 17.46 mata lebih tinggi kepada 1,580.17 daripada 1,562.71 ketika ditutup Isnin dan bergerak antara paras 1,580.17 dan 1,604.57 sepanjang hari dagangan.



Jumlah dagangan meningkat kepada 9.19 bilion unit bernilai RM5.35 bilion daripada 9.02 bilion unit bernilai RM7.71 bilion pada Isnin.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata aktiviti kilang di China meningkat pada tahap paling pantas dalam tempoh sedekad pada November, dan ini dijangkakan membantu kilang di seluruh rantau ini semakin pulih daripada krisis COVID-19.

Beliau berkata, Petronas Chemicals menerajui antara 30 syarikat tersenarai di FBM KLCI, dengan 9.3 peratus peningkatan, manakala Top Glove ketinggalan apabila susut 4.6 peratus di tengah-tengah berita bahawa syarikat itu dijangka didakwa kerana melanggar peraturan mengenai penginapan pekerja.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China meningkat kepada 52.1 pada November daripada 51.4 pada bulan terdahulu berikutan banyak pesanan baharu di peringkat domestik dan peningkatan harga bahan mentah.



Di peringkat tempatan, IHS Markit melaporkan PMI Malaysia mencatatkan penguncupan bulanan kali keempat berturut-turut kepada 48.4 pada November.

“Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian Bursa Malaysia mencatat peningkatan terbesar 4.02 peratus manakala REIT menyaksikan penurunan terbesar 0.67 peratus, diikuti penjagaan kesihatan iaitu 0.63 peratus,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya dilapor telah menangguhkan perbincangan pengeluaran kepada 3 Disember.

Setakat ini, minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate diniagakan positif, masing-masing pada AS$48.18 dan AS$45.59 setong.



Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.29 peratus kepada 2,814.12, Indeks Hang Seng Hong Kong tinggi 0.86 peratus kepada 26,567.68 dan Indeks Nikkei Jepun meningkat 225 mata kepada 1.34 peratus kepada 26,787.54.

Di peringkat tempatan, Petronas Chemicals naik 60 sen kepada RM7.02, Tenaga Nasional meningkat 78 sen kepada RM10.86, Maybank naik 29 sen kepada RM8.19, Public Bank menambah 52 sen kepada RM17.92 dan Axiata menokok 23 sen kepada RM3.78.

Top Glove turun 33 sen kepada RM6.79 dan Petronas Gas susut 36 sen kepada RM17.80.

Dalam kalangan saham aktif, AT Systematization naik satu sen kepada 21 sen, Pegasus menambah setengah sen kepada 3.5 sen dan BioAlpha menokok 4.5 sen kepada 35.5 sen.



Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 234.76 mata kepada 11,569.63, Indeks FBMT 100 menokok 232.04 mata kepada 11,332.78 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 224.76 mata kepada 13,372.13.

FBM 70 naik kepada 119.62 mata kepada 14,948.54 dan FBM ACE meningkat 70.30 mata kepada 10,771.91.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 6.48 mata kepada 167.12, Indeks Perladangan naik 133.55 mata kepada 7,350.28 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 404.07 mata kepada 14,208.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 5.48 bilion saham bernilai RM4.19 bilion daripada 5.49 bilion saham bernilai RM6.57 bilion pada Isnin.



Jumlah dagangan waran susut kepada 634.31 juta unit bernilai RM128.23 juta daripada 798.72 juta unit bernilai RM150.37 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.07 bilion saham bernilai RM1.02 bilion daripada 2.72 bilion saham bernilai RM981.18 juta sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 539.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.6 bilion), pembinaan (426.65 juta), teknologi (199.87 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (119.71 juta), hartanah (1.02 bilion), perladangan (159.84 juta), REIT (5.7 juta), dana tertutup (8,100), tenaga (645.83 juta), penjagaan kesihatan (149 juta), telekomunikasi dan media (55.3 juta), pengangkutan dan logistik (373.49 juta) dan utiliti (147.56 juta).

-BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker