Jangan ada campur tangan dalam penghakiman inkues Adib

Mahkamah Koroner hari ini telah menamatkan prosiding inkues yang telah bermula sejak 11 Februari.

Namun, ia bukanlah pengakhiran buat arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban sewaktu bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, uSJ 25 Subang Jaya hujung tahun lalu.

Kita akan terus komited dan konsisten memperjuangkan keadilan bagi mendapatkan kebenaran mengenai apa yang berlaku pada petugas bomba.

Siasatan telah berlangsung 41 hari dan kita telah disajikan dengan pelbagai hujah dan cerita daripada keterangan 30 saksi serta pakar.

Saya percaya institusi kehakiman adalah institusi yang bebas dan dihormati akan memberikan keputusan mengenai punca kematian yang tepat dan benar.

Namun, segala keputusan dan penghakiman haruslah dibuat tanpa campur tangan pihak tertentu.

Antara campur tangan yang dipersoalkan sebelum ini ialah kehadiran peguam Negara di saat-saat akhir yang mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menamatkan khidmat peguam pemerhati mereka, Syazlin Mansor.

Antara alasan diberi Peguam Negara, Thommy Thomas adalah kepentingan konflik kerana bercanggah selepas kedudukan suami beliau sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahmad Soffian Mohd. Shariff namun persoalan yang lebih menarik ialah ia hanya berbangkit selepas lebih sebulan prosiding.

Perkara ini menjadi kebimbangan masyarakat yang khuatir ada usaha untuk menafikan kebenaran terhadap apa yang berlaku pada Muhammad Adib.

Semua pihak dalam inkues wajar membantu Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang tepat menentukan punca kematian.

Keadilan buat Muhammad Adib bukan saja bermakna buat keluarganya, sahaja tetapi seluruh rakyat Malaysia yang menghargai pengorbanan penjawat awam itu yang bergadai nyawa demi negara.

Datuk Jalaluddin Alias adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker