Apa nasib Menteri Besar Perak?



Sebaran :

USUL undi percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Manaf Hashim kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid disifatkan sebagai sesuatu yang di luar jangka.

Apa tidaknya, dalam keadaan hampir kesemua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, tiba-tiba di Perak seolah-olah berlaku satu gerakan tertentu untuk menguji sokongan kepada Ahmad Faizal.

Malah usul itu diterima Mohammad Zahir untuk dibahaskan dalam Sidang DUN Perak yang akan berlangsung pada 4 hingga 11 Disember depan bagi membentangkan Bajet Negeri 2021.



Bukan itu sahaja, notis usul tersebut juga mengelirukan banyak pihak kerana kebiasaannya usul undi tidak percaya akan dibawa ke dalam Dewan bagi membuktikan seseorang Menteri Besar mahupun Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan untuk kekal menerajui kerajaan.

Namun persoalan yang timbul, adakah usul undi percaya ini boleh menyingkirkan Menteri Besar seperti usul undi tidak percaya?

Menurut Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, usul undi percaya biasanya dibuat bertujuan untuk mengesahkan bahawa seseorang pemimpin itu mempunyai majoriti yang cukup untuk mengetuai sesuatu pentadbiran.



Undi tidak percaya pula katanya, dibuat apabila wujudnya krisis ke atas sokongan atau keabsahan kuasa yang ada pada seorang pemimpin.

“Implikasinya hampir sama apabila undi percaya dilakukan, akhirnya didapati tahap kepercayaan itu tidak menggambarkan wujudnya sokongan majoriti, maka seseorang pemimpin itu perlu meletakkan jawatan.

“Dalam konteks di Perak misalnya, Menteri Besar Perak perlu menghadap Sultan Perak yang mempunyai kuasa melantik seorang ADUN yang mendapat kepercayaan majoriti bagi menjawat jawatan tersebut,” katanya.



Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, sekiranya usul undi percaya itu tidak mendapat sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN kerajaan, keadaan itu menunjukkan terdapat gerakan dalaman yang tidak berpuas hati dengan Ahmad Faizal untuk mendesak beliau meletakkan jawatan.

Tidak puas hati

Hubungan dingin antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak ini bukan satu rahsia lagi.Sejak awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lagi, wujud pelbagai tuntutan dan ketidakpuasan hati khususnya dalam kalangan pemimpin UMNO terutama berkaitan lantikan jawatan politik.



Kemuncak kemarahan UMNO apabila ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak tanpa mendapat keizinan rasmi daripada Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Secara dasarnya, undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu pasti akan ditolak oleh pembangkang malah Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari sendiri secara jelas menyatakan 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong Ahmad Faizal.

Tetapi tidak mustahil jika ada segelintir ADUN PH yang menyokong usul terhadap Ahmad Faizal itu kerana mungkin terhutang budi dengan ‘kawan lama’



Pada masa sama, usul itu juga boleh dijadikan senjata oleh UMNO untuk menguji kesetiaan rakan-rakan dalam gabungan Muafakat Nasional malah ADUN-ADUN BN sendiri ke mana arah sokongan mereka.

Ahmad Faizal pula dilihat bijak apabila mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada semua ADUN termasuk wakil rakyat pembangkang menjelang pembentangan Bajet Negeri 2021 pada Jumaat ini.

Ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sokongan terhadap usul undi percaya terhadapnya jika dibahaskan di DUN nanti.



Timbalan Presiden Bersatu itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 daripada 59 ADUN bagi meluluskan usul undi percaya itu untuk kekal menerajui pentadbiran kerajaan Perak.

Jika tidak, beliau perlu meletakkan jawatan atau mencadangkan pembubaran DUN Perak kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Berdasarkan situasi semasa negara yang sedang berdepan pandemik Covid-19, ditambah peningkatan mendadak kes positif virus itu di Perak dengan tiga kawasan diumumkan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mustahil untuk diperkenankan pembubaran DUN bagi memberi ruang diadakan Pilihan Raya Negeri.



Pilihan yang ada hanyalah menukar Menteri Besar Perak tetapi ia tetap tidak menjamin kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

Melihat kepada komposisi kerusi dalam DUN Perak, UMNO mempunyai kerusi paling banyak iaitu 25 namun masih tidak cukup untuk membentuk kerajaan diikuti DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) sebanyak lima, Bersatu (5), PKR (3), Pas (3) dan Bebas (2).

Bagaimanapun harus diingat, kuasa melantik Menteri Besar Perak merupakan hak Sultan Perak untuk memperkenan sesiapa sahaja difikirkan layak mengikut pertimbangan baginda walaupun bukan dalam kalangan parti mempunyai majoriti. Sinar

UMNO dan PPBM di Perak sedang berperang


Sebaran :


Leave a Reply