Belanjawan 2021: Kem pembangkang hanya beri laluan peringkat dasar – Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata majoriti pembangkang mahu memberi peluang kepada kerajaan dengan tidak menyokong undi belah bahagi ketika pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Jelasnya, majoriti kem pembangkang bersetuju untuk berbuat demikian, namun akan kembali membahaskannya pada peringkat jawatankuasa Isnin nanti.
Katanya, beliau terdahulu meminta Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi berkenaan.
“Saya dapati agak sukar untuk kita memberikan penolakan keras kepada peringkat awal.
“Saya telah meminta rakan-rakan saya bersetuju dengan pandangan saya supaya untuk pusingan pertama ini, kita bagi laluan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga ketua pembangkang menegaskan bahawa pihaknya telah buat keputusan untuk undi belah bahagi seandainya wujud percanggahan.
“Ini sekiranya ada percanggahan di beberapa kementerian dengan pendirian kami dalam pengurusan kerajaan, tadbir urus baik, penyelewengan dan peruntukan JASA dikurangkan.
“Jadi ini akan diputuskan pada hari Isnin,” tambahnya ketika ditemui media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, pertimbangan mereka adalah kerajaan mengutamakan dan meningkatkan kebajikan serta projek prorakyat seperti untuk golongan petani, nelayan, pekebun kecil, penganggur dan pekerja kilang selain isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank.
“Menteri Kewangan gagal memberikan penjelasan, dia umum-umum… tetapi dari segi angka menyeluruh belanjawan, tidak disentuh.
“Ia seolah-olah tiada kesan, ini tidak benar. Menteri Kewangan harus memberikan penjelasan kerana unjuran perbelanjaan perlulah tersasar, ini pandangan kita,” jelas Anwar lagi.
Terdahulu, sidang Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) pada peringkat dasar selepas mendapat sokongan daripada ahli Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu pada jam 3.28 petang Khamis.

 

Mahathir mengamuk ahli parlimen pembangkang mungkir janji

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker