Belanjawan 2021: Pemuda UMNO kemuka 10 cadangan

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini selesai menyerahkan memorandum suara hati rakyat berkaitan Belanjawan 2021 kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, beliau berkata Tengku Zafrul dilihat cukup positif dan memberikan jaminan untuk mengambil serius perkara yang dibangkitkan dalam memorandum yang mengandungi 10 cadangan utama itu.

“Ini kerana semua cadangan yang diberikan itu menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini termasuk isu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), lanjutan moratorium, pembuangan kerja dan belia menganggur,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.



Asyraf Wajdi berkata, antara 10 cadangan utama itu ialah melanjutkan tempoh moratorium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 hingga 6 bulan, memberi kebenaran untuk pengeluaran akaun satu KWSP sekurang-kurangnya RM5,000 dan meningkatkan geran latihan semula kepada pekerja sektor terjejas untuk membantu mendapat pekerjaan sektor lain.

“Bagi pelajar, memorandum berkenaan mencadangkan pemberian yuran percuma kepada pelajar universiti awam dan e-wallet bulanan sebanyak RM50 selama 12 bulan untuk pembelian data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian.

“Memorandum tersebut turut melibatkan bantuan kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) melalui cadangan untuk melonggarkan syarat pinjaman dan memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan

“Kerajaan disarankan memberi bantuan geran RM5,000 kepada syarikat yang berkelayakan melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP) di samping insentif subsidi upah RM600 sebulan selama 12 bulan kepada syarikat yang menggaji graduan dan belia yang diambil bekerja,” katanya.



Turut dicadangkan kata beliau ialah bayaran khas bulanan kepada penjawat awam barisan hadapan sehingga berakhirnya wabak Covid-19 dan meningkatkan geran latihan semula kepada pekerja sektor yang terjejas seperti perhotelan dan penerbangan untuk membantu mereka mendapat pekerjaan di sektor lain.

Katanya, cadangan di dalam memorandum berkenaan turut meminta pemberian khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker