Najib gesa semua bertenang selepas tweet Dr M

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak menggesa semua pihak bertenang, susulan tweet kontroversi seorang daripada pengkritik lantangnya, Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, dikecam selepas kenyataannya untuk memboikot produk Perancis sebagai reaksi terhadap kenyataan mengenai Islam yang dibuat Presidennya, Emmanuel Macron.

Dalam satu siri tweet, mengulangi apa yang ditulis di blognya, Mahathir berkata, Macron “sangat primitif” kerana menyalahkan Islam dan umatnya atas kematian seorang guru di Perancis yang dipancung baru-baru ini, dan menegaskan membunuh bukan ajaran Islam.



Katanya, Perancis pernah membunuh berjuta-juta orang, kebanyakannya umat Islam.

Ia disusuli tweet: “Umat Islam berhak marah dan bunuh berjuta orang Perancis atas pembunuhan mereka masa lampau.”

Twitter pada awalnya menandakan tweet kontroversi itu kerana ia dilihat sebagai “glorifying violence”. Ia kemudiannya dipadamkan.

Najib menerusi Twitter hari ini menggesa semua pihak bertenang dan membaca kenyataan Mahathir dalam konteks penuh.



“Saya pasti beliau tidak maksudkan apa yang dikatakannya dan walaupun jika beliau maksudkannya, ia adalah pendapat peribadinya, bukannya Malaysia.

“Pada masa sama, seseorang perlu mengambil semua akaun media sosialnya sebelum beliau melakukan lebih banyak kerosakan.”

Kenyataan Macron pada minggu lalu menyusul kematian Samuel Paty yang dipancung di sekolahnya di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas guru sejarah itu menunjukkan kartun Nabi Muhammad sebagai sebahagian daripada perbincangan dalam kelas mengenai kebebasan bersuara-FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker