Kemelut Politik Mahathir, Pembubaran Parlimen, Dan Pengisytiharan Darurat

Share

Semalam Dr Mahathir mencabar Bersatu untuk memecatnya, dia tidak endah titah Yang Dipertuan Agong di Parlimen baru-baru ini supaya tidak membawa rakyat dan negara ke kancah kemelut politik.

Semalam juga terdapat ura-ura bahawa terdapat tiga orang ahli Parlimen Bersatu akan melompat ke kem Dr Mahathir dan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Ura-ura ahli Parlimen Bersatu lompat kem ini sangat kuat sehinggakan Jabatan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan surat rasmi menafikan perkara tersebut.

Sekiranya tiga ahli Parlimen ini benar-benar melompat kem, maka Kerajaan PN yang berusia tiga bulan ini akan tumbang kerana kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Dan kejatuhan kerajaan akibat ahli Parlimen melompat parti ini akan menjadi kali kedua dalam tiga bulan.

Dan pertukaran kerajaan dalam tempoh yang singkat ini dijangka akan berlaku lagi dan tidak akan berhenti sehingga Pilihanraya Umum ke-15.

Ini terjadi sebab kedua-dua gabungan politik iaitu PN atau PH tidak akan mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Mereka kini boleh membentuk kerajaan dengan hanya 1 atau 2 majoriti tipis sahaja dengan cara ahli Parlimen melompat parti.

Setiap kali selepas semua jawatan Kabinet dan GLC diisi dan dilantik, pergolakan tentunya akan berlaku lagi.

Sebab jawatan-jawatan ini adalah terhad dan tidak cukup untuk semua orang, oleh itu pasti akan ada ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan tersebut.

Sesiapa yang dilantik menjadi Timbalan Menteri akan dijanji jawatan Menteri jika melompat parti ke parti lawan.

Begitu juga pengerusi-pengerusi GLC yang dilantik akan ditawar menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh pihak lawan jika melompat parti.

Yang diperlukan hanyalah seorang dua sahaja ahli Parlimen melompat untuk menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu kerajaan tidak akan stabil dengan pertukaran Perdana Menteri dan anggota Kabinet berlaku setiap beberapa bulan disertai dengan pergolakan politik di antara pertukaran kerajaan tersebut.

Jika politik dan kerajaan tidak stabil seperti di atas, keadaan ekonomi dan sosial rakyat akan menjadi lebih teruk dan terjejas kerana ahli-ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan terutama menteri-menteri sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa dan tidak ada masa untuk mentadbir dan membuat dasar untuk rakyat dan negara.

Sebab itu untuk meleraikan kemelut politik yang berpanjangan dan menstabilkan semula kerajaan dan politik negara, maka pilihanraya umum yang baru perlu dibuat untuk mendapatkan mandat rakyat bagi memilih ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan yang baru dan lebih stabil.

Oleh itu, sekiranya kerajaan hilang majoriti di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin tidak ada pilihan lain selain membubarkan Parlimen.

……..

Ahli-ahli politik PH seperti Ambiga, Khalid Samad dan ramai lagi telah menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju jika Parlimen dibubar untuk pilihanraya.

Alasan mereka adalah kos pilihanraya yang tinggi.

Namun sebenarnya alasan ini bukanlah alasan yang kuat.

Ini kerana, mahu atau tidak, pilihanraya umum tetap perlu diadakan dan kos ini tetap perlu dibelanjakan sama ada sekarang atau tiga tahun lagi bila mana kos ini akan meningkat berbanding sekarang.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga boleh mencadangkan dan melaksanakan langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan kos ini.

Kos kerugian ekonomi negara akibat ketidakstabilan politik adalah jauh lebih tinggi apabila negara tidak ditadbir dengan betul kerana menteri-menteri sibuk berpolitik dan pelabur menjauhkan diri.

Kos moral dan kewangan akibat “rasuah merasuah” ahli politik untuk melompat parti juga boleh dielakkan atau dikurangkan sekiranya politik lebih stabil berbanding sedia ada dengan pilihanraya dan mandat rakyat yang baru.

Sebenarnya, PH takut kehilangan banyak kerusi jika pilihanraya diadakan semula.

……..

Minggu depan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan tamat atau dilonggarkan lagi, banyak kedai-kedai dan aktiviti perniagaan telah dibuka semula.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah dalam trend menurun dan terkawal.

Aktiviti kehidupan akan kembali seperti biasa seperti sebelum ini walaupun dengan beberapa perubahan cara hidup norma baru seperti penjarakan sosial, tidak bersalam dan sebagainya.

Setelah tiga bulan PKP, ahli-ahli politik terutama pembangkang akan kembali giat berpolitik untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pilihanraya kecil juga akan diadakan di Chini dan mungkin di Rawang.

Sekiranya Parlimen dibubar, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tempoh pembubaran.

Ini bermakna dalam tempoh 60 hari Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu menyediakan SOP norma baru untuk pilihanraya umum semasa atau selepas PKP.

Pilihanraya Kecil Chini pada bulan hadapan boleh dijadikan model lapangan untuk penambahbaikan SOP bagi pilihanraya yang lebih besar.

Dalam tempoh pembubaran ini juga Perdana Menteri dan Kabinet sedia ada akan menjadi kerajaan interim atau “care-taker” seperti biasa sebelum kerajaan baru dibentuk selepas pilihanraya.

Sekiranya keadaan tidak mengizinkan di mana wabak COVID-19 menular semula di akhir tempoh 60 hari tersebut, maka tempoh tersebut boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat untuk menangguhkan pilihanraya.

Namun pengisytiharan darurat ini adalah pilihan terakhir hanya jika keadaan wabak COVID-19 menjadi semakin teruk dan membahayakan rakyat dan negara untuk memanggil pilihanraya selepas tempoh 60 hari tersebut.

……..

Mahu tidak mahu, bersedia atau tidak, melihat keadaan politik semasa kini, semua perlu bersiap untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya umum ke-15 pada tahun ini.

ISHAM JALIL
30 Mei 2020

(Visited 1,923 times, 1 visits today)

One thought on “Kemelut Politik Mahathir, Pembubaran Parlimen, Dan Pengisytiharan Darurat

  • May 30, 2020 at 13:40
    Permalink

    PRU15 adalah Ulam yang dinanti-nantikan Muafakat Nasional (MN) dan merupakan Racun Mematikan oleh Pakatan Harapan. BERSATU fraksi Mahyiddin boleh saja menjadi ahli baru MN tetapi terpaksa bersedia menjadi partner junior. Melihat kecemerlangan Mahyuddin menjalankan tanggungjawab sebagai PM selama Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, pemimpin2 MN perlu berlapang dada melantik beliau terus menjadi PM manakala jawatan2 Timbalan PM dan menteri2 kanan mestilah diserahkan kepada MN sebagai timbal balik kerjasama menyelamatkan negara dari ancaman2 dalam dan luar dan meneruskan kerja2 yang sedang dilakukan sekarang. Yang pastinya, PRU15 akan menjadi Titik Noktah politik kepada dua pengacau utama negara iaitu Mahathir dan Anwar. Parti2 dalam PH seperti PKR dan PAN akan menjadi nata sejarah manakala DAP cuma boleh wujud dalam bentuk asalnya iaitu di P Pinang dan beberapa bandar di Semenjung.

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!