Strategi pelaburan Khazanah

MUKADIMAH
Saban tahun, pembentangan laporan tahunan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menjadi tumpuan. Sesetengah orang menjadikan ia sebagai gambaran kedudukan ekonomi negara sepanjang tahun, ada juga yang menjadikannya sebagai modal politik.
Khazanah berjaya mencatatkan keuntungan tahunan walaupun negara berhadapan cabaran ekonomi yang sangat besar pada 2020. Malah, dividen tahunannya kepada kerajaan juga bertambah.
Bagi mendalami cabaran dan bagaimana Khazanah berjaya mendepani cabaran pandemik pada 2020, ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia Yulpisman Asli dan Ku Syafiq Ku Fozi serta jurugambar dan juruvideo, MUHAMAD IQBAL ROSLI bersama Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

UTUSAN: Bagaimana de­ngan aset Khazanah ketika ini?

SHAHRIL RIDZA: Aset Kha­zanah terbahagi kepada dua, dana komersial dan dana strategik. Dana komersial matlamatnya yang utama untuk memulangkan keuntungan yang munasabah dan jangka panjang untuk kerajaan. Dana strategik pula digunakan untuk melabur dalam industri strategik yang mungkin akan menjana bukan sahaja pulangan komersial, tetapi juga pulangan ekonomi. Bagaimana untuk membuka peluang pekerjaan baharu, peluang ekonomi baharu untuk rakyat Malaysia.



Apa yang sedang kita kaji sekarang ialah dana strategik. Adakah pegangan-pegangan kita yang sedia ada masih strategik untuk negara pada masa hadapan. Ini satu soalan yang penting kerana jika dana yang kita ada masih lagi dilaburkan dalam aset yang lama, ia tidak akan mendatangkan manfaat ekonomi baharu kepada negara.

Adakah lebih mustahak untuk kita melabur dalam bidang yang baharu untuk membuka peluang baharu atau memegang yang lama? Persoalan ini memang sedang kita bincangkan dengan kerajaan kerana jika Khazanah mahu membuat pelaburan yang besar dalam bidang baharu, kita memerlukan dana yang baharu. Sama ada kerajaan beri dana kepada kita atau kita lepaskan apa yang lama supaya dana itu boleh digunakan untuk membuat pelaburan baharu.

Pandangan kita, mungkin tidak munasabah untuk terus memegang yang lama jika ia tidak memberikan peluang baharu kepada ekonomi kita. Itu yang sedang kita kaji sekarang.
Ada syarikat yang dikenal pasti untuk dilepaskan?

Jika kita lihat sekarang, kita sedang melepaskan SilTerra kerana kita sudahpun melabur dalam SilTerra dan mungkin pada masa ini, kita beri peluang kepada syarikat lain untuk mengambil alihnya. Duit yang dilepaskan daripada penjualan SilTerra kita boleh laburkan untuk membuka bidang ekonomi baharu. Mungkin dalam biotek­nologi, tenaga boleh dibaharui (RE) atau bidang lain yang mustahak untuk ekonomi negara. Jika kita tidak melepaskan yang lama untuk menjana dana baharu, kita tiada peluang untuk melabur. Kita boleh lihat peluang itu, tetapi jika tiada dana, bagaimana?



Itu dari segi eko­nomi negara. Untuk menjana peluang ekonomi lain untuk sektor swasta dan membuka peluang pekerjaan baharu, ia memerlukan dana baharu untuk dilaburkan. Khazanah bukan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kita tiada suntikan dana baharu setiap tahun. Jadi kita terpaksa mengitar semula pelaburan yang lama: menjual, dapatkan keuntungan, labur semula. Itu yang kita buat untuk dua tahun ini.

Pelaburan baharu yang dibuat Khazanah dalam dua tahun yang lepas memang banyak. Ia dijana daripada penjualan aset lama supaya kita boleh mendapatkan keuntungan dan melabur semula. Jika kita lihat pulangan kepada Khazanah pada 2019, kita menjana kira-kira RM7 bi­lion keuntungan. Dalam 2020, walaupun tahun pandemik dan kita terpaksa mengambil rosot nilai Malaysia Airlines Berhad (MAB) serta aset dalam sektor perhotelan sebanyak RM5 bilion, kita masih menjana hampir RM3 bilion keuntungan. Ini daripada aktiviti pelaburan, mengitar semula dana yang ada dari segi dividen dan keuntungan penjualan aset serta pembelian aset baharu. Ia membantu kita untuk masih menjana keuntungan yang baik dan memberikan kita peluang memberikan dividen yang tinggi kepada kerajaan.

Ada berapa syarikat yang dirancang untuk dilepaskan?
Memang setiap tahun kita ada perancangan untuk mencari peluang sama ada untuk melabur atau untuk melepaskan (aset). Mungkin ada syarikat yang kita beli dua atau tiga tahun lalu sudah naik harga, kita akan jual, dapatkan keuntungan dan laburkan dalam syarikat yang baharu serta mendapatkan sedikit keuntungan untuk menjana dividen kepada kerajaan.

Apa rancangan penyatuan dan pemerolehan (M&A) untuk jangka pendek?
Untuk jangka pendek, jika ada peluang M&A yang mungkin boleh mendatangkan nilai kepada kita, kita akan jalankan. Tetapi tidak semua peluang itu boleh dijalankan kerana ada prosesnya, dari segi rundingan, usaha wajar, untuk lihat sama ada peluang itu berbaloi atau tidak. Kadang-kadang, selepas kita buat kajian sama ada peluang itu boleh mendatangkan faedah kepada kita, mungkin melalui maklumat yang ada tidak menyokong peluang tersebut. Kita akan tinggalkannya.



Adakah strategi pelaburan selepas ini akan fokus kepada aset luar negara?
Dari segi pelaburan strategik, ia akan selalu fokus kepada Malaysia. Apa yang boleh mendatangkan manfaat kepada Malaysia, sama ada membuka peluang ekonomi atau menjana peluang pekerjaan. Untuk dana strategik, semuanya dalam Malaysia.

Untuk dana komersial, matlamatnya untuk menjana keuntungan jadi dana global. Dari segi penjanaan keuntungan, dana yang kita laburkan di luar negara telah menghasilkan 26 peratus pulangan pada 2020. Ini sesuatu yang selalu saya tekankan mengenai peluang kita untuk melakukan kepelbagaian dalam dana. Kita tidak boleh tumpukan semua dana komersial dalam satu negara sahaja.

Tahun 2020 telah membuktikannya. Jika kita tidak me­labur di luar negara, kita tiada peluang menjana keuntungan sedia ada untuk membina peluang pada masa hadapan. Kita telah mengambil kesempatan ke atas pandemik. Apabila pandemik tiba, kesemua pasaran saham dunia runtuh, semua jatuh secara mendadak dan kita mengambil peluang itu untuk membeli aset yang bagi kita bagus tetapi harganya jatuh. Kita mendapat keuntungan apabila sejak Mei sehingga Disember, harga aset di pasaran dunia semua naik. Pasaran memuncul naik 14 peratus, pasaran membangun juga meningkat. Sebab itu dari segi pulangan daripada pasaran dunia, kita menjana lebih 20 peratus.

Di Malaysia berbeza kerana walaupun Bursa Malaysia naik sedikit, kebanyak kenaikan itu tertumpu kepada sektor sarung tangan, elektronik sahaja. Sektor lain memang tertekan. Untuk Khazanah, pegangan kita dalam syarikat yang besar se­perti Tenaga Nasional Berhad jatuh 20 peratus, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebab ia tertakluk kepada penerbangan, jatuh 20 peratus. Hanya Telekom Malaysia (TM) sahaja sebab berlaku peningkatan permintaan untuk talian internet, itu sahaja naik 40 peratus. Syarikat lain semua turun termasuk bank. Kalau kita tidak mempelbagaikan pelaburan di luar negara, semuanya tertumpu di Malaysia sahaja, kita tidak akan menjana keuntungan dan tidak boleh menjana dana baharu untuk buat pelaburan baharu, baik komersial atau strategik.



 

Telekom Malaysia merupakan syarikat pelaburan Khazanah yang mencatatkan peningkatan pendapatan pada tahun lalu, di sebalik pandemik Covid-19.

 

Maknanya untuk masa hadapan, akan lebih fokus kepada pelaburan luar?
Tidak, kita akan fokus kedua-duanya. Dari segi kepelbagaian, penting untuk kita terus me­labur di Malaysia. Walaupun kita buat pelaburan di luar negara, pelaburan di Malaysia masih lagi yang terbesar dalam dana kita. Pelaburan di luar negara sesuatu yang penting untuk kepelba­gaian dan pengurusan risiko. Sama seperti dana lain, kita mesti ada portfolio atau dana yang cukup matang dan memberikan perlindungan dari segi risiko supaya kita tidak tertumpu dalam satu ekonomi sahaja.

Impak pandemik mungkin berpanjangan. Bagaimana pe­rancangan Khazanah untuk memastikan pulangan pelaburan?
Sebab itu kita perlu mempelbagaikan pelaburan. Apa pelaburan kita yang menguntungkan? Dalam sektor teknologi, internet, data dan lain-lain di luar negara. Jika kita lihat di Malaysia, apa yang terus mendapat keuntungan walaupun berhadapan pandemik ialah sektor seperti sarung tangan dan elektronik. Tetapi di Malaysia kita tiada pendedahan dalam sektor ini. Yang kita ada, sektor yang mungkin dianggap seperti sektor lama seperti TNB, komunikasi dan perbankan. Itu sebabnya kita perlu tanya diri sendiri, adakah kita perlu terus memegang sektor-sektor yang utama atau lebih baik mengitar semula pelaburan dan menumpukan kepada sektor baharu? Menggunakan dana yang boleh dijana daripada sektor lama.



Walaupun mencatat keuntungan pada 2020, masih ada yang menyerang Khazanah. Apa komen Datuk? Adakah Datuk melihat ia sebagai satu kejayaan?
Khazanah memang menjadi satu sasaran politik, selalu. Tidak kira siapa dalam kerajaan, pembangkang ketika itu akan menyerang. Kita tidak sempurna. Kita tidak boleh 100 peratus semua yang kita buat akan berjaya.
Secara keseluruhannya, keuntungan RM7 bilion pada 2019 dan keuntungan RM3 bilion pada 2020, dan dari segi dana semakin kukuh serta pelbagai. Dalam 2020, pandemik Covid-19 sendiri sudah (ambil) RM5 bilion daripada nilai aset kita, sama ada MAB atau hotel-hotel kita. Walaupun pandemik, masih dapat RM3 bilion. Pada saya ia sesuatu yang memuaskan. Kita sudah cuba sedaya upaya bagi mengurangkan impak Covid-19 dan masih lagi membawa keuntungan yang jika kita lihat dari sejarah Khazanah, masih tinggi. Masih membawa dividen yang tinggi kepada kerajaan.

Jangkaan untuk 2021?
2021 akan membawa cabaran yang besar kerana syarikat di bawah Khazanah, impaknya masih berterusan. Seperti mana kita tahu, impak pandemik akan berterusan tahun ini dan kita menjangka akan terus berhadapan cabaran bagi membawa di­viden yang tinggi. Dividen ialah hasil kepada keuntungan operasi dan mereka ketika ini masih lagi tertekan kerana Covid-19. Namun, kita masih ada peluang di pasaran dunia untuk menjana keuntungan. Di Malaysia, impak kepada penerbangan dan hotel penginapan masih tinggi kerana kita tidak menjangka akan beroperasi sepenuhnya, walaupun secara domestik, sehingga tahun hadapan.
Tahun ini, kita masih turun naik. Adakalanya kita buka (ekonomi) dan adakalanya kita tutup semula, jika kes Covid-19 masih tinggi. Tahun ini dijangka tidak sama rata pulangannya.

Bagaimana dengan dividen untuk kerajaan, adakah lebih baik tahun ini?
Kita masih belum pasti kerana baru Mac, masih terlalu awal untuk buat jangkaan. Namun, ia sesuatu yang kami bincangkan bersama kerajaan. Apakah keseimbangan antara keperluan jangka pendek, dari segi kewa­ngan kerajaan dengan keperluan jangka panjang, di mana kita perlu melabur untuk menjana peluang ekonomi? Ini sesuatu yang kita perlu tumpukan, sama ada kita meningkatkan dividen untuk membantu kerajaan atau kita kurangkan dividen tetapi melabur lebih untuk jangka panjang.

Apa kesan pertukaran kerajaan kepada Khazanah?
Di Khazanah, kita mempunyai strategi jangka panjang yang telah bermula sejak 2018. Walaupun strategi ini diwujudkan kerajaan lama, diteruskan kerajaan baharu kerana strategi ini yang diperlukan Khazanah, munasabah dan realistik untuk Khazanah. Kita yakin bahawa strategi Khazanah adalah jangka panjang, munasabah dan tidak berunsurkan politik, kita akan teruskan sahaja.
Bagi Khazanah, kita selalu tertakluk kepada kehendak kerajaan kerana kita 100 peratus dipegang kerajaan tetapi jika strategi itu munasabah, tertumpu kepada jangka panjang, kita yakin mana-mana kerajaan pun akan bertindak untuk masa hadapan Malaysia. Khazanah akan tetap fokus untuk membawa pulangan munasabah kepada rakyat Malaysia.



Bagaimana dengan liabiliti Khazanah?
Liabiliti Khazanah pada 2018 adalah kira-kira RM50 bilion. Satu cabang strategi kita adalah untuk mengurangkan liabiliti Khazanah supaya kita boleh ada keseimbangan yang lebih kukuh dari segi pengurusan risiko. Pada masa ini, kita telah mengurangkan liabiliti kepada RM43 bilion. Kita akan terus memerhatikan sama ada tahap ini munasabah atau kita mahu ambil peluang meningkatkan liabiliti sedikit untuk membuat pelaburan yang lebih atau kita mahu kurangkan liabiliti untuk kukuhkan kunci kira-kira. Ini sesuatu yang kita sering kaji.
Tahap yang sihat kita perlu lihat liputan aset, berapa kali aset meliputi liabiliti kita. Pada masa ini, kira-kira tiga kali liputan. Ini tahap yang sihat untuk memberikan keyakinan kepada institusi lain membuat pinjaman kepada kita atau mendatangkan faedah kepada kita.

Pandangan tentang kontrak Datuk?
Kontrak saya sehingga Ogos ini. Kita akan buat satu ketetapan apabila tiba masanya. Namun, apa yang mustahak buat Khazanah sebagai satu institusi adalah untuk memastikan strategi dan proses yang telah kita jalankan akan berterusan. Ia lebih penting kerana institusi seperti Khazanah, KWSP atau yang lain, sepatutnya tidak bergantung kepada satu individu sahaja. Ia mesti berterusan tidak kira siapa yang menerajui institusi itu. Terpulang kepada Lembaga Pengarah.
Saya sudah 20 tahun menyumbang untuk negara, dari KWSP kemudian Khazanah. Saya tiada masalah. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker