‘Had 4 penumpang dalam satu kereta ditarik balik mulai esok’

Kerajaan telah bersetuju untuk melonggarkan peraturan empat orang dalam satu kereta yang akan berkuat kuasa esok 27 Mei, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Di bawah peraturan baru, jumlah penumpang di dalam sebuah kenderaan akan bergantung pada kapasiti kereta seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

“Sebuah kereta persendirian dengan kapasiti empat orang, hanya membenarkan seorang pemandu dengan tiga penumpang di dalam kereta yang sama, sementara MPV boleh membawa sehingga tujuh orang,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ini selepas kerajaan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) (Pindaan) 2020.

Beliau bagaimanapun, berkata antara syarat lain adalah pemandu dan penumpang mesti daripada ahli keluarga yang tinggal di kediaman yang sama.

“Jika multi purpose vehicle (MPV) (kenderaan pelbagai guna) kapasitinya adalah tujuh penumpang, jadi bermula esok mereka boleh membawa penumpang dengan jumlah maksimum.

“Pemandu harus mengikut kapasiti kenderaan masing-masing seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Pada PKP fasa kedua yang bermula 1 April, kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan satu orang satu kenderaan manakala kelonggaran kepada dua penumpang dalam satu kereta pula diberikan ketika PKP fasa keempat yang bermula 29 April.

Dalam PKP Bersyarat pula, kerajaan mengehadkan hanya empat orang dalam keluarga yang sama boleh menaiki kenderaan persendirian.

Pada sidang akhbar itu, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa sebanyak 738 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 1,243 pada hari sebelumnya.

Daripada jumalh itu, katanya, Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi dengan 317 kereta diikuti Melaka (89) dan Kedah (80).

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker