KKM perjelas kenapa ujian Covid-19 nampak macam kurang

Kerajaan telah memaklumkan telah menambah keupayaan ujian saringan Covid-19 yang kini meningkat kepada 11,500 ujian sehari.

Bagaimanapun, ujian purata harian yang dilaporkan cuma setakat 3,000 dan ini telah menimbulkan persoalan mengenai tahap kapasiti saringan tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah menjelaskan mengapa ia kelihatan begitu.

Katanya, jumlah ujian harian itu cuma untuk suspek baru Covid-19.

Hari ini, jumlah keseluruhan ujian yang dilaporkan adalah pada 43,462 iaitu peningkatan 2,979 saringan sejak semalam.

Menjelaskan lanjut, Hisham berkata apa yang tidak diketahui orang awam baki kepada kapasiti ujian itu digunakan terhadap pesakit sedia ada.

“Kadang-kadang satu pesakit kita akan laksana tiga ke 4 ujian. Contoh masuk, esok lusa akan tengok positif ke. Lepas balik tu kena buat dua kali (saringan).

“Seseorang itu kadang kala kita buat empat, lima kali (ujian). Jadi, kapasiti itu kita ambil seorang lima kali,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menjadi polisi Kementerian Kesihatan untuk menguji pesakit sebanyak dua kali dalam tempoh lebih 24 jam dan jika kedua-dua hasil ujian menunjukkan hasil negatif, maka pesakit boleh keluar hospital.

Menurut Noor Hisham lebih banyak ujian perlu dibuat jika hasil ujian pesakit menunjukkan keputusan positif pada penghujung rawatannya.

“(Ujian) ini mengesan positif saja. Jadi nampak seolah kita buat seribu dua ribu (saringan) saja.

“Kapasiti kita dalam rawatan, bukan hanya pengesanan. Ujian kita boleh buat 11,000 tetapi kita guna buat rawatan dan pengesanan,” katanya.

Dr Noor Hisham menegaskan kerajaan sedang berusaha meningkatkan kapasiti saringan ini kepada 16,500 ujian setiap hari di 48 makmal di seluruh negara.

Ketika Covid-19 mula merebak, kapasiti saringan Malaysia adalah 3,500 ujian sehari.

Beliau menambah bahawa sasaran 16,500 saringan juga akan disokong oleh kit ujian pantas anti-gen (kaedah mengesan virus).

Beliau berkata ujian sedang dilakukan untuk menentukan tahap kebolehpercayaan dan ketepatan kit saringan pantas dari Korea Selatan itu.

Beliau berkata keputusan ujian itu akan diketahui esok.

“Sekiranya ia tepat, kami akan memesan 200,000 unit dari Korea Selatan,” katanya.

Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Alhamdulillah satu penjelasan yg diharapkan kpd semua rakyat malaysia faham,agar tiada lagi yg suka mempolitikkan dgn merendah2kan kemampuan KKM kita dalam menghadapi convid 19 ini.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker