Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM meninggal dunia

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, 67, meninggal dunia di rumah anaknya di Rawang, jam 11.10 malam tadi.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan Kota Damansara dekat sini, selepas solat Zuhur.

“Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) beberapa kali akibat komplikasi jantung dan strok.

“Minggu lalu, doktor memberi kebenaran Allahyarham pulang ke rumah.

“Kami ucapkan takziah buat keluarga Allahyarham,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Ahmad Said berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam bidang kriminologi dari Indiana State University, Amerika Syarikat.

Allahyarham memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dari 14 Mei 2007 hingga 31 Disember 2009 sebelum digantikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, merakamkan ucapan takziah mewakili seluruh warga SPRM terhadap pemergian Ahmad Said.

“Seluruh warga SPRM mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker