Belanjawan Kedah 2020: Pas mahu PH fokus keperluan asas rakyat

https://i0.wp.com/www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/10/18/493842.jpg?w=780&ssl=1

ALOR SETAR – Pas Kedah berharap Belanjawan Kedah 2020 yang dibentangkan Ahad ini menjadi bajet penyelesaian masalah terutama melibatkan keperluan asas rakyat Kedah.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, antara fokus utama yang harus diberikan tumpuan kerajaan negeri adalah bekalan air, perumahan serta peluang pekerjaan.

Menurutnya, ia juga harus memanfaatkan kerjaya asas penduduk negeri ini yang majoritinya adalah golongan petani, penoreh serta nelayan



“Tahun 2020 adalah sasaran untuk capai status sebagai negara maju namun Malaysia tak mampu capai termasuk negeri yang dilihat masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang terutama keperluan asas rakyat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ahmad berkata, pengumuman insentif pada Belanjawan 2020 Jumaat lalu dilihat tidak diterima dengan hati gembira oleh majoriti rakyat, jangan pula Belanjawan Kedah 2020 turut menerima nasib sama.

“Jangan sampai rakyat buat kesimpulan tiada apa lagi harapan yang boleh diberikan kepada kerajaan PH (Pakatan Harapan) melalui bajet yang dibentang. Projek mega yang diuar-uar bakal menjadi pemangkin negeri yang diumum pada bajet lalu juga masih kabur sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ridzwan Abu Bakar mahu kerajaan negeri memberi fokus kepada pembangunan dan kesedaran politik warga belia.



“Lanjutan keputusan Parlimen menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik, dijangka jumlah yang terkesan pada tahun 2020 melebihi 120,000 remaja yang menjadi pengundi kali pertama pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) di Kedah,” katanya.

Menurutnya, ini menyebabkan kerajaan negeri perlu giatkan usaha memupuk kefahaman dan kesedaran terhadap sistem kenegaraan sedia ada.

“Belanjawan Kedah 2020 perlu pertimbangkan peruntukan bagi usaha kesedaran ini. Meluluskan undang-undang tanpa pendidikan dan kesedaran berkaitan keperluan melibatkan diri dalam sistem demokrasi berparlimen dan kepentingan memilih kerajaan demokratik dan berintegriti, seolah usaha sia-sia,” katanya.

Ridzwan berkata, kerajaan negeri perlu menggerakkan pelbagai agensi dan parti politik bagi memupuk kesedaran itu dengan meletakkan kepentingan masa depan negeri dan negara sebagai keutamaan.



“Isu perkauman dan keagamaan melampau hendaklah dielak dan ditangani sewajarnya dalam memupuk kesedaran itu. Diharap cadangan ini diberikan perhatian kerajaan negeri agar responsif terhadap suara akar umbi,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/52700/BERITA/Politik/Belanjawan-Kedah-2020-Pas-mahu-PH-fokus-keperluan-asas-rakyat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker