Ahli PKR lapor audio dakwa exco cuba ‘kautim’ polis, SPRM

Share


Seorang ahli PKR membuat laporan polis berhubung rakaman audio panggilan telefon yang mendakwa exco Perak, Abdul Yunus Jamhari cuba menyelesaikan kesnya yang sedang disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes itu berkaitan dakwaan Yunus meminta komisen daripada dua syarikat supaya meluluskan permohonan tanah milik kerajaan negeri seluas 93 ekar.

Sazali Shamsudin, anggota PKR cabang Kampar membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa itu menyiasat ketulenan audio tersebut yang didakwa tular di media sosial.

“Hari ini saya buat laporan polis di Balai Polis Pusat Ipoh, Perak. Empat lagi laporan dibuat di beberapa tempat lain dari semalam.

“Tujuan kami membuat laporan polis ini untuk meminta pihak polis menyiasat ketulenan audio tersebut. Ini sangat penting,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menjelaskan kelima-lima laporan dibuat atas inisiatif NGO yang dikenali sebagai Pro98.

Bagaimanapun Yunus yang merupakan Pengerusi Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak sebelum ini menafikan audio tersebut.

“(Audio itu) palsu,” kata Yunus kepada Malaysiakini pada 15 Ogos.

Dalam audio perbualan telefon yang turut dihantar kepada Malaysiakini, pemanggilnya memperkenalkan diri sebagai pembantu Yunus dan dikatakan bercakap dengan seorang pegawai polis untuk membantu menyelesaikan kes membabitkan kelulusan tanah berkenaan.

Dalam klip audio selama 1.14 minit itu, pemanggilnya turut memberitahu kes tersebut dengan SPRM sudah ‘kautim’.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini turut memaklumkan belum menerima sebarang laporan polis berkenaan audio berkenaan.

“Ketua polis Perak sebelum ini kata tiada laporan polis. Jadi, kami (Pro98) membuat laporan,” kata Sazali.

Beliau menambah, mereka akan menyerahkan satu memorandum di Istana Perak dalam masa terdekat agar Sultan Perak menitahkan Yunus berehat sehingga siasatan selesai.

“Ini kerana kami tak nak siasatan polis kali ini diganggu lagi,” tambah beliau.

Yunus merupakan ahli PKR dan memenangi DUN Kuala Krau pada PRU14 sebelum dilantik sebagai exco Perak.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *