Sudah jangka, tiada yang berani persoal pelantikan ‘Superman’ Hew

Share

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sudah menjangkakan tiada seorang pun daripada Pakatan Harapan (PH) berani mempersoalkan pelantikan bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC).

Katanya, sampai sekarang, tidak ada seorang pun daripada PH berani mempersoalkan Kuan Yau mengetuai sebuah agensi kerajaan yang mengambil peranan amat penting dalam perdagangan dua hala bernilai ratusan bilion setiap tahun.

“Kan saya dah kata. Ini kemahuan DAP. Mana pemimpin PH lain yang berani menyoal?

“Mengaku sahajalah yang ini ialah lantikan politik kerana Hew telah banyak berjasa kepada DAP,” kata Najib menerusi status dalam laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Najib, tidak ada seorang daripada PH berani mengaku bahawa ramai lagi orang lain jauh lebih layak untuk memikul jawatan itu ataupun Hew tidak sesuai kerana telah berkali-kali menghina Perdana Menteri keempat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dengan kata-kata kesat di dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada Julai 2016, Kuan Yau mengumumkan keluar DAP ekoran kenyataan dalam akaun Facebook miliknya bahawa Laut China Selatan adalah milik China.

Kenyataan kontroversi itu dibuat ketika pertikaian menuntut kawasan perairan tersebut melibatkan negara kuasa besar itu dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

Sebelum PRU-14, Kuan Yau yang turut dikenali sebagai ‘Superman Hew’ kerana kegemarannya memakai baju dengan logo wira komik itu pernah mendakwa Dr. Mahathir sebagai kuda tunggangan DAP. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!