Hishammuddin bangkitkan keluhan pesara tentera tidak terima bantuan

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membangkitkan keluhan pesara tentera tidak berpencen yang meluahkan rasa terkilan susulan tiada lagi skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menerusi hantaran dalam laman Twitter beliau hari ini, Hishammuddin mempersoalkan siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk membela kebajikan lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen di seluruh negara kalau bukan Kementerian Pertahanan.

Hishammuddin turut berkongsi laporan portal berita Free Malaysia Today yang mendedahkan kumpulan pesara itu juga telah membuat aduan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu namun masih menantikan bantuan tersebut.

“Ini bukan saya cakap, pesara tentera sendiri terkilan Bantuan Bakti Negara dihentikan. Apa salahnya teruskan inisiatif yang membantu mereka? Kalau tidak Kementerian Pertahanan, siapa lagi akan membela kebajikan lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara?” kata Hishammuddin.



Laporan itu juga menemu bual seorang pesara, Shahran Hadar yang berkata di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, bayaran dibuat menjelang akhir tahun.

“Veteran (tidak berpencen) sekarang tidak ada bantuan, saya tidak berani cakap berapa, dulu kerajaan beri imbuhan RM1,200 setahun.

“Sebelum ini Mat Sabu datang jumpa kami, kami kemukakan supaya teruskan bantuan ini, kami masih menunggu. RM1,200 patut sudah dapat untuk 2018 tetapi tidak dapat walaupun dah masuk tahun baharu,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker