Insaflah Maszlee… Sampai bila nak salahkan media?

SEPERTI dijangka, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sekali lagi menyalahkan media atas laporan kenyataan beliau mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.

Dalam kenyataan media oleh setiausaha akhbarnya, Sharul Aman Mohd. Saari, beliau mendakwa laporan hampir semua media utama negara semalam adalah tidak tepat dan memberi gambaran yang salah.

Ini bukan pertama kali. Sebelum ini media disalahkan kerana isu stoking dan kolam renang. Malah, ada wartawan diserang oleh pegawai khasnya di Facebook kerana kononnya melaporkan perkara tidak penting dan mengabaikan perkara yang dikatakan lebih penting.

Mungkin Dr. Maszlee lupa, rakyat Malaysia pada tahun 2018 ini bukanlah tidak cerdik. Semua laporan boleh disemak kesahihannya melalui pelbagai medium, terutamanya internet.

Apatah lagi apabila diucapkan dalam Dewan Rakyat, semua perkataan dicatat dalam hansard dan siaran langsungnya ditayang di seluruh negara.

Persoalannya, apabila hampir semua media melaporkan benda sama dan ia disambut pula dengan kecaman daripada tokoh berpengalaman seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim, adakah ia masih salah media atau sebenarnya menteri yang kurang bijak ketika bercakap?

Dalam hansard juga jelas, soalan yang ditanyakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) adalah tentang subjek sejarah di sekolah, maka pastilah jawapan menteri juga berkenaan subjek di sekolah. Mahu putar-putar ke mana lagi?

Sebaiknya, Dr. Maszlee mengaku sahajalah sudah tersalah cakap. Anda menteri, pastilah sekali-sekala tergelincir lidah apabila berkata. Anda bukan maksum.

Ataupun jujur sahaja, anda sebenarnya berniat nak buat kelakar tapi malangnya, ‘punchline’ tak sampai. – UTUSAN ONLINE

One thought on “Insaflah Maszlee… Sampai bila nak salahkan media?

  • December 4, 2018 at 2:52 pm
    Permalink

    Menteri seorang ni terlalu ghairah di Parlimen nak tunjuk lebih handal di kalangan Menteri yang ada. Tersasul le sudahnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *