Pemilihan DAP Johor: Pakatan ‘Tan dan Boo’ dijangka tentang Liew sekali lagi


JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sekali lagi dijangka berentap menentang gabungan pasukan setiausahanya, Tan Hong Pin dan bekas pemimpin DAP negeri itu, Dr Boo Cheng Hau dalam pemilihan pada konvensyen negeri parti itu esok.

Pada pemilihan 2018, Tan dan Boo, yang juga ahli jawatankuasa negeri, bekerjasama mencabar Liew, namun bekas timbalan menteri pertahanan itu berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai pengerusi parti negeri.

Pertembungan sengit ini dijangka menarik perhatian pada Konvensyen DAP Johor ke-20 dan pemilihan yang akan berlangsung di Batu Pahat sejurus selepas ucapan perasmian pada sebelah pagi.

Timbalan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching juga antara 40 calon yang akan bertanding esok pada pemilihan yang dijalankan dalam dua peringkat, membabitkan ahli jawatankuasa negeri, seterusnya barisan 15 kepimpinan negeri dalam peringkat kedua pengundian.

Difahamkan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan veteran parti itu, Lim Kit Siang tidak dapat hadir esok kerana masih menjalani kuarantin Covid-19 di rumah.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Wong Shu Qi, ketika dihubungi FMT mengesahkan ucapan perasmian Konvensyen DAP Johor esok akan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo.

Terdahulu, Liew dalam catatan di Facebook mengakui pemilihan kepimpinan negeri kali ini agak unik kerana menjadi tumpuan ramai, malah ia menjadi lebih menarik apabila ada bekas ahli DAP yang turut terlibat berkempen.

“Pemilihan kepimpinan negeri sebelum ini kurang menarik perhatian media dan orang ramai kerana jarang melibatkan persaingan sengit antara calon,” kata beliau.

DAP adalah antara parti yang memenangi banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selain Umno, iaitu masing-masing 14 kerusi, diikuti Bersatu (12 kerusi), PKR (tujuh), Amanah (enam), MIC (dua) dan satu bagi PAS. FMT

Teng: Liew Chin Tong yang tawarkan diri untuk diperbodoh Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker