Orang Selangor terkawal, tiada pembelian panik

Shah Alam: Aktiviti perniagaan berjalan normal di seluruh Selangor tanpa sebarang pembelian panik oleh pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Ia susulan pemeriksaan dilakukan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap bekalan semasa barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, susu tepung, biskut, sardin dan pelbagai makanan termasuk topeng muka, lampin bayi dan dewasa, panadol dan tisu basah juga mencukupi bagi kegunaan pengguna di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menggerakkan anggota penguat kuasa serta pegawai pemantau harga sejak 14 Oktober lalu.



“Rata-rata peniaga yang ditemui memaklumkan tiada pembelian panik berlaku di premis mereka dan peningkatan jualan adalah biasa di mana pengguna keluar berbelanja di hari cuti hujung minggu bagi membeli barang keperluan mereka.

“Pengguna yang ditemui hari ini juga memaklumkan mereka berbelanja seperti biasa dan tiada pembelian berlebihan dibuat walaupun mendengar desas-desus bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah darurat bagi mengekang penularan wabak Covid 19.

https://mykmu.net/2020/03/16/lockdown-dan-pembelian-panik/

“Pengguna dilihat lebih matang dalam menilai sesuatu isu atau berita yang ditularkan dengan mengambil langkah mendapatkan sumber berita sahih sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya tadi.



Muhamad Zikril Azan berkata, pemeriksaan dan tinjauan hari ini pula membabitkan 35 pegawai penguat kuasa dan 23 pegawai pemantau harga.

“Ini bertujuan meninjau sama ada berlakunya pembelian panik ekoran dari situasi semasa serta bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah senantiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.

“Di samping itu, KPDNHEP Selangor ingin memastikan bahawa tidak berlakunya sebarang manipulasi harga dalam kalangan peniaga yang akan membebankan rakyat serta pengguna nanti.

“Pemeriksaan pada hari ini merangkumi 431 premis perniagaan yang meliputi pemborong, pembekal, pasaraya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam yang membekalkan barangan keperluan asas kepada pengguna,” katanya.



Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan kekurangan bekalan keperluan atau manipulasi harga oleh peniaga disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC).

“Orang ramai juga boleh melayari web KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif selaras dengan cogan kata kementerian “PANTAS, CEKAP DAN EFEKTIF”,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker