PAS mahu UMNO berterima kasih kepada Bersatu

Apabila isu kerjasama Umno dengan PN dibangkitkan, antara ‘duri’ yang setakat ini menghalang ia terjadi ialah keberadaan Bersatu sebagai salah satu komponen gabungan berkenaan.

Perseteruan yang sengit itu antara lain disebabkan keazaman parti yang ditubuhkan menjelang PRU ke-14 lalu mahu ‘mematikan’ Umno.

Namun pada pandangan PAS, sebenarnya Umno wajar berterima kasih kepada Bersatu atas tindakan mereka sebelum ini.



Menurut Naib Presiden PAS Idris Ahmad Bersatu sudah berjasa kepada Umno apabila mereka berjaya mengangkat parti terbabit menjadi kerajaan selepas berada di pihak pembangkang selama hampir dua tahun.

“Umno patut berterima kasih kepada Bersatu kerana Bersatulah yang menyekat mereka daripada menjadi pembangkang selama 22 bulan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Idris yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kerajaan PN sebelum ini dipercayai merujuk kepada insiden Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu meninggalkan PH pada Feb 2020.

Ia kemudian membawa kepada jatuhnya kerajaan PH di sebalik mandat yang diperolehi mereka melalui PRU pada 2018.



Bersatu kemudian membentuk PN bersama PAS lalu bekerjasama dengan BN dan mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Muhyiddin merupakan bekas timbalan presiden Umno yang dipecat ekoran krisis dalaman parti itu ketika ia dipimpin Najib Razak.

Pun begitu Idris menyalahkan Umno apabila mereka menjadi kerajaan sehingga membawa pengunduran Muhyiddin daripada jawatan perdana menteri pada pertengahan Ogos 2021.

“Kita panggil Umno untuk duduk dalam kabinet tapi mereka buat huru-hara untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bagi jawatan itu kepada Umno dan itu tidak menjadi sebarang masalah pada mereka.

“Rakyat menilai perkara itu. Sepatutnya Umno berterima kasih kepada Bersatu kerana Bersatu ini kawan awak daripada parti awak sendiri.



“Kalau kami (PAS) boleh terima Bersatu kenapa pula awak tak boleh terima?” katanya.

PN – khususnya PAS – menggiatkan usaha mereka menarik Umno keluar dari kerajaan sejak akhir-akhir ini, dengan menjadikan keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Kemaman sebagai salah satu alasan

PRK itu menyaksikan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi kerusi parlimen berkenaan dengan perbezaan lebih 37,000 undi.

Selain PAS, Muhyiddin sendiri menggesa agar Umno menilai semula kerjasama mereka dengan kerajaan perpaduan dengan mendakwa PRK tersebut membuktikan ahli parti berkenaan kini menyokong PAS.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker