Allahyarham Adib: Keadilan Yang Masih Samar

BEBERAPA minggu dahulu Syazlin Mansor, peguam yang pernah mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib Kasim mengadakan sidang akhbar memperincikan kenapa beliau menarik diri daripada mewakili institusi di atas. Beliau juga menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau satu persatu dan menolak campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib. Syazlin juga mengumumkan beliau akan kembali mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Sidang media dianjur Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)itu dibuat kerana PPMM mahukan keadilan dilakukan bukan sahaja kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib tetapi juga kepada peguam berkenaan. Apatah lagi Syazlin juga merupakan peguam yang beragama Islam.

Selang beberapa hari selepas itu keluarga Allahyarham Muhammad Adib menzahirkan rasa lega mereka dan menyambut baik keputusan Syazlin mahu kembali mewakili mereka walaupun tidak mewakili JBPM dan KPKT.

Difahamkan Peguam Negara akan mencadangkan beberapa Pendakwa Raya bagi mewakili kedua institusi tersebut menggantikan Syazlin. Apa yang lebih menarik Persatuan Pesara Bomba juga mengeluarkan kenyataan mahu kedua institusi tersebut diwakili peguam bebas bukan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.



Persoalan yang timbul di benak fikiran ramai ialah kenapa perkara ini berlaku dan apa motifnya? Kenapa ada gangguan dan campur tangan sebagaimana didakwa? Bagi menjawab persoalan ini pada pandangan saya hanya Peguam Negara sahaja yang dapat menjawabnya namun saya percaya tiada penjelasan diberikan setelah beberapa insiden di atas berlaku.

Persoalan selanjutnya, adakah keadilan yang dicari keluarga Allahyarham Muhammad Adib menemui jalan berliku dan tidak dapat dinikmati mereka? Keluarga Allahyarham Muhammad Adib hanya inginkan keadilan bagi mengetahui kenapa beliau dibunuh dan bagaimana ia dilakukan.

Pelik dengan kenyataan Peguam Negara yang menyatakan terdapat konflik kepentingan Syazlin di dalam mewakili pelbagai pihak kerana prosiding inkues sangat berbeza dengan litigasi biasa yang mana kedua belah pihak menyatakan dan mempertahankan kedudukan masing-masing sedangkan prosiding inkues mencari fakta.

Persoalan fiat (kebenaran bertulis mewakili pihak kerajaan) yang dikatakan tidak diperoleh oleh Syazlin juga bukanlah matan kepada prosiding ini kerana Syazlin bukan dilantik menjadi pengendali inkues sebagaimana peruntukan di dalam Kanun Tatacara Jenayah. Akta Prosiding Kerajaan 1956 pula tidak terpakai di dalam hal ini kerana akta tersebut hanya memperincikan perjalanan kes-kes sivil sahaja.



Bertambah pelik lagi kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berjalan (sejak Februari 2019) barulah alasan-alasan ini dikemukakan Peguam Negara? Kenapa ia tidak dihujahkan pada hari pertama prosiding dijalankan? Tidakkah dari sudut undang-undangnya Peguam Negara kini dihalang (estopped) daripada mengemukakan alasan yang beliau tidak nyatakan awal-awal lagi? Kegagalan menyatakan bantahan tersebut hendaklah dianggap Peguam Negara tiada halangan Syazlin mewakili pihak-pihak ketika itu. Ia menjadikan tindakan Peguam Negara terjumlah kepada perkara yang difikirkan semula dan tidak boleh diterima.Asas

Walaupun Peguam Negara dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menegaskan Syazlin tidak dihalang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, namun halangan mewakili JBPM dan KPKT tidak mempunyai asas yang dikukuh jika dinilai dari sudut perundangan.

Apakah kepetahan Syazlin berhujah, kewibawaan beliau mengendalikan inkues dan kelantangannya membuat penemuan yang meyakinkan menggusarkan Peguam Negara dapatan yang bakal dibuat oleh mahkamah koroner nanti? Adakah Peguam Negara hanya mahu satu versi fakta sahaja dikemukakan dan tidak memberikan alternatif kepada mahkamah koroner menilai versi lain?

Saya tidak berhajat untuk mengulas isu lain yang ditimbulkan kerana ia sudahpun dijelaskan di dalam media sebelum ini. Pada hari mendatang ini prosiding inkues ini telah ditetapkan untuk sambungan perbicaraan, kita tunggulah jika ada lagi karenah yang ditimbulkan bagi tujuan tertentu.



Walau apapun, kita tunggulah sehingga prosiding ini dilengkapkan dan rakyat akan menilainya dengan objektif. Walaupun keadilan dilihat masih samar, kebergantungan kita kepada ALLAH SWT hendaklah terus dipasakkan kerana Dialah yang menentukan segalanya.

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker