Orang Sabah sudah muak, ‘berdoa’ Warisan kalah, kata Bung

Rakyat Sabah “berdoa” supaya Warisan tumbang dalam pilihan raya akan datang kerana tidak melihat sebarang pembangunan di sebalik “janji manis” ditaburkan kepada mereka, kata Pengerusi Umno negeri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, Warisan memenangi pilihan raya pada Mei 2018 kerana banyak “sentimen negatif” digambarkan sepanjang tempoh berkempen ketika itu.

“Mereka membuat janji manis kepada penduduk. Kita tidak tahu apa janji lain yang akan mereka buat kali ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno hari ini.

Bung yang juga ketua jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkata, banyak janji dalam manifesto Warisan belum ditunaikan sehingga kini.



“Sebab itu orang Sabah muak dan berdoa supaya Warisan kalah,” katanya.

Katanya, BN dan Umno sudah bersedia untuk memenuhi kehendak rakyat.

“Kita bersatu dan bertekad untuk menggerakkan jentera pilihan raya di semua 25 bahagian di seluruh negeri bagi memastikan kemenangan calon kita,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak akan membiarkan tuduhan rasuah terhadapnya menghalang daripada melakukan kempen dengan sebaiknya. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker