3 jemaah umrah Indonesia positif Covid-19

JAKARTA: Ujian calitan di sebuah hotel di Makkah mengesahkan tiga jemaah umrah Indonesia positif COVID-19, menurut Persatuan Pengurusan Haji dan Umrah Indonesia (AMPHURI).

Ketua Bahagian Umrah AMPHURI, Zaky Anshary, yang dipetik portal Kompas.com Khamis lalu, berkata selain tiga jemaah berkenaan, keputusan ujian saringan COVID-19 jemaah lain adalah negatif.

“Jemaah positif virus itu sudah diarahkan menjalani proses kuarantin selama tujuh hari, selaras dengan dasar Kementerian Kesihatan Arab Saudi bagi jemaah yang dijangkiti wabak terbabit.



“Jemaah Indonesia lain yang memperoleh keputusan negatif ujian calitan dibenarkan untuk meneruskan umrah,” katanya.

Menurut laporan AMPHURI, 224 jemaah umrah dari Indonesia berlepas ke Makkah bagi menunaikan umrah atau miqat pada Rabu lalu.

Kesemua jemaah sudah menjalani ujian calitan COVID-19 sehari sebelum berlepas, yang dilakukan oleh pegawai kesihatan di hotel sekitar jam 6 petang waktu tempatan.

Menurut Zaky, semua peserta program umrah Indonesia diwajibkan untuk mengisi borang akuan kesihatan.



Minggu lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula makkah bermula 1 November lalu bagi umat Islam dari luar Arab Saudi menunaikan umrah.

Berikutan keputusan Arab Saudi itu, ratusan jemaah Indonesia berlepas untuk menunaikan umrah sejak Ahad minggu lalu.

Zaky berkata, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah dari Indonesia dan Pakistan memasuki negara itu buat sementara waktu.

Riyadh melonggarkan perintah berkurung selepas menutup sempadan dan menghentikan sementara ketibaan jemaah asing sejak Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19. – AGENSI



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker