PRN Sabah tidak akan berlaku?

Prn sabah

Dua peristiwa penting bakal berlaku pada 17 Ogos ini dijangka mendorong kepada jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak mungkin diadakan.

Pertama, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak.

Seterusnya mahkamah berkenaan akan membuat keputusan sama ada tindakan Tun Juhar Mahiruddin memperakukan pembubaran DUN itu, mengikut undang-undang atau tidak.

Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh yang mewakili kerajaan Sabah berhujah, tindakan Tuan Yang Terutama (TYT) itu tidak boleh dicabar di mahkamah.



Bagaimanapun, katanya, Peguam Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhujah, tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu boleh dicabar.

Keduanya, kata Dr. Kamarul Zaman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sabah, khususnya penetapan hari penamaan calon dan pengundian pada jam 9 pagi hari sama di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

“Jika Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan tindakan Jun Juhar membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan di mahkamah dan bercanggah dengan undang-undang, maka PRN Sabah pastilah tidak perlu dilangsungkan.

“Terdapat asas kuat memungkinkan hujah bahawa tindakan TYT itu boleh dibicarakan di mahkamah dan hujah bahawa tindakan itu bercanggah dengan undang-undang diterima oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.



“Begitupun, sama-sama kita tunggu apa yang bakal berlaku seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos ini untuk penjelasan atau keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Musa dan 32 ADUN berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim yang menetapkan tarikh itu juga mengarahkan Jabatan Peguam Negara memfailkan hujahan mereka selewat-lewatnya pada 10 Ogos ini dan dibalas oleh pemohon pada 12 Ogos.

Pada 4 Ogos lalu, Musa dan ADUN yang bersekutu dengannya telah mengemukakan permohonan ex-parte mereka melalui Tetuan FT Ahmad & Co, Peguambela & Peguamcara yang menamakan Tun Juhar Mahiruddin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, SPR dan kerajaan negeri, masing-masing sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.



DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu, yang diumumkan Mohd Shafie pada sidang media setelah permohonan pembubaran itu diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker