Rasuah Jana Wibawa, Adam Radlan dibicara Mei tahun depan

Rasuah Jana Wibawa, Adam Radlan dibicara Mei tahun depan

Ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), pada Mei tahun depan.

Hakim Suzana Hussin menetapkan Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dibicarakan selama 15 hari dalam tempoh empat bulan berturut-turut.

Tarikh-tarikh itu ialah 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Mahkamah turut menetapkan 31 Oktober ini bagi perkembangan status permohonan Adam Radlan agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicarakan secara bersama dengan dua lagi pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah berasingan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan bertulis agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicara bersama dengan dua lagi pertuduhan yang dikemukakan di hadapan hakim berlainan.

“Kami akan memfailkan permohonan itu dalam tempoh dua minggu,” ujarnya pada prosiding sebutan hari ini bagi memaklumkan perkembangan kes tersebut.

Ujarnya, seramai 20 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Terdahulu, ketika kes disebut di hadapan Hakim Azura Alwi, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan memohon agar dua pertuduhan yang dihadapi Adam Radlan di mahkamah itu, dipindahkan ke hadapan Suzana untuk perbicaraan bersama.

Ujar beliau, pendakwaan mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mencantumkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Farah Yasmin turut memaklumkan, pihaknya sudah menyerahkan senarai 10 saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan. Ketika kes disebut pada 14 Julai lalu, pihak pendakwaan memaklumkan semua dokumen yang diperlukan pada perbicaraan kes ahli perniagaan itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Di hadapan Azura, Adam Radlan didakwa meminta dan menerima rasuah RM2 juta. Di hadapan Suzana pula, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dua menerima rasuah RM2.1 juta dan RM500,000 serta satu tuduhan meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan, 42, didakwa atas pertuduhan pertama meminta rasuah daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus nilai projek berkaitan Jana Wibawa.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus manakala kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021.

Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.

Pada 22 Februari pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta daripada Mat Jusoh. Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu.

Pada 28 Februari pula, Adam Radlan sekali lagi didakwa di sini atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta daripada individu bernama Lian Tan Chua sebagai upah membantu tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor.

Adam Radlan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Utusan

Rasuah Jana Wibawa, Adam Radlan dibicara Mei tahun depan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

MP Ketereh merungut sedekah kematian pakai duit sendiri

Aku sondol laki orang sampai naik pelamin (Video)

Mat Saleh bengang Malaysia ‘rosakkan’ deria rasanya (Video)

Mondy dakwa Ebit Lew kotor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker