Najib boleh keluar penjara seawal Januari 2025

Datuk Seri Najib Razak boleh dibebaskan daripada hukuman penjara seawal Januari 2025 atau memohon parol bagi menjalani lebihan hukuman di luar penjara pada suku akhir tahun sama.

Bekas Perdana Menteri itu diberikan pengurangan hukuman sebanyak 50 peratus oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Dalam satu kenyataan terdahulu, Lembaga Pembangunan mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Peguam, Kitson Foong, berkata tempoh penjara enam tahun itu boleh dikurangkan sebanyak satu pertiga atau dua tahun kerana kelakuan baik.

“Oleh kerana beliau sudah jalani hukuman penjara bermula 23 Ogos 2022, iaitu kira-kira setahun lima bulan, maka tempoh itu juga akan diambil kira.

“Daripada jumlah itu, pengurangan akan dibuat sekali lagi dengan mengambil kira penolakan hari cuti umum, kira-kira 15 hari setahun. Oleh itu, Najib boleh dibebaskan seawal 2025 atau penghujung 2024,” katanya kepada BH.

Kitson berkata, Najib juga masih boleh menggunakan proses parol di bawah Seksyen 46E Akta Penjara untuk memohon supaya lebihan hukuman itu dijalani di luar penjara, iaitu di rumah.

Katanya, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bekas Presiden UMNO itu boleh memohon parol selepas menjalani separuh daripada hukuman yang sudah diberikan melalui proses Lembaga Pengampunan.

“Dalam keadaan itu, beliau layak untuk memohon parol sekitar suku akhir 2025,” katanya.

Peguam, Datuk M Reza, berkata Najib masih boleh mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim kerana pengampunan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, sekiranya disabitkan sekali lagi atas pertuduhan lain, beliau masih boleh memohon pengampunan terhadap sabitannya,” katanya.

Terdahulu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri turut mengumumkan denda perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 bersidang pada Isnin lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas mempertimbangkan pendapat serta nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, selain pengurangan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tanggal semua kemudian berambuslah – KPN

Akim diganggu perempuan miang nak menyondol

Norreen Iman silap tayang badan, tunjuk perut

Kemasukan wanita disyaki pelacur ‘unik’, lepas tanpa cop

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker