PRU15: Mungkin tiada calon menang majoriti besar lebih 20,000 undi

KUALA LUMPUR: Senario calon meraih kemenangan dengan majoriti besar melebihi 20,000 undi, berkemungkinan akan hanya menjadi kisah lampau dan dijangka tidak berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis dan pemerhati politik berpendapat, jumlah calon yang begitu ramai pada pilihan raya kali ini bakal mewujudkan peluang hampir sama rata dalam kalangan pesaing khususnya yang mewakili gabungan parti utama, kerana undi dijangka berpecah antara mereka.

Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar, berpandangan rata-rata pengundi akan memberi tumpuan kepada calon mewakili tiga gabungan utama, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), berbanding mereka daripada parti lain serta calon Bebas.

Beliau berkata, kekuatan ketiga-tiga gabungan yang hampir setanding itu dijangka menyebabkan kebanyakan calon hanya mampu menang tipis, berbanding pola sebelum ini di mana ada calon berupaya melakar kejayaan dengan majoriti 20,000 hingga 30,000 undi.

“Walaupun calon ramai sehingga ada kerusi bertembung 10 penjuru, pertandingan sebenarnya tertumpu kepada dua atau tiga calon saja.

“Ramai calon bertanding Bebas kerana tidak puas hati dengan parti sendiri atau mahu menunjukkan protes terhadap iklim politik semasa, namun kebanyakan mereka berkemungkinan besar hilang deposit.

“Namun walau siapapun yang dipilih pengundi, saya menjangka kebanyakan calon menang dengan majoriti tipis,” katanya kepada BH, hari ini.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, senario jumlah calon ramai itu boleh dilihat dari dua aspek, dengan pertama ia menunjukkan betapa amalan demokrasi subur di Malaysia.

Namun dalam aspek yang lain, beliau berkata, ia menunjukkan dinamik perpecahan dalam parti politik sehingga ada pemimpin parti sanggup bertanding atas tiket parti lawan, dan amalan tukar parti kini menjadi kebiasaan.

“Apabila tidak menerima keputusan pencalonan, mereka sanggup tukar parti. Bukan kerana dia percaya pada parti itu, tetapi kerana mereka beri platform kepadanya untuk bertanding, dan dia mahu tunjuk rasa tak puas hati. Ini umpama mencuba nasib.

“Ini bermakna keputusan pemimpin parti sudah tidak dihormati. Mereka yang bertanding melawan parti sendiri ini berharap rakyat akan memilih berdasarkan calon dan bukan lagi berasaskan parti,” katanya.

Berhubung pihak yang mampu meraih 112 kerusi Parlimen untuk menang dengan majoriti mudah pula, Syed Hamid melihat BN, PN dan PH memiliki kelebihan, namun parti di Sabah dan Sarawak bakal menentukan gabungan mana yang membentuk kerajaan.

“UMNO akan berharap gabungan Sabah dan Sarawak menyokong BN kerana rekod kerjasama mereka sebelum ini, namun isunya adalah soal personaliti tertentu yang mungkin menjadi masalah,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berpandangan jumlah calon yang ramai akan mencetus kemeriahan dalam kalangan pengundi, sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi pada PRU15.

Beliau berkata, jumlah calon Bebas yang ramai juga menunjukkan ramai rakyat Malaysia berminat menyertai politik, sekali gus akan menarik minta pengundi untuk turut serta dalam ‘pesta demokrasi’ pada 19 November ini, khususnya pengundi kali pertama berusia 18 hingga 20 tahun.

“Namun apabila ada ramai calon dan pengundi, sukar untuk melihat pola pengundian. Kemungkinan besar pengundi akan membuat pilihan berdasarkan isu setempat atau faktor calon itu sendiri.

“Pada PRU14, pola pengundian adalah menolak BN kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan seumpamanya, tetapi kali ini polanya pelbagai, sekali gus mana-mana calon parti utama berpotensi menang,” katanya.

Atas faktor itu, katanya, tiada parti yang boleh mendabik dada mengaku dominan di mana-mana kerusi kerana masing-masing hanya berpotensi menang dengan majoriti tipis.

“Perebutan kerusi akan tertumpu pada tiga parti, iaitu BN, PN dan PH, namun menang majoriti besar seperti dulu dengan 20,000 hingga 30,000 undi berkemungkinan sudah tiada, khususnya jika calon diletakkan selaras dengan kaum majoriti di sesuatu kawasan,” katanya.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Myvi diterbalik kerana mengejek,langgar penghantar makanan (Video)

“Are You F*ck….” – Tular Video Calon MUDA Kepala Batas Mencarut Ketika Berucap (Video)

Anak belasah ibu kerana tak kemas rumah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker