Sebab mengapa Paludan membenci Islam
Sebab mengapa Paludan membenci Islam
Tindakan melampau ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan membakar al-Quran menunjukkan sikap Islamofobia yang sangat terdesak. Tindakan beliau bersama pengikutnya sewajarnya dikutuk dan dikecam kerana terlalu biadab menghina umat Islam.
Sememangnya bukan dia sahaja yang bersikap Islamofobia, tidak dinafikan masih ramai lagi yang bersikap sedemikian terutama dari negara Barat dan Eropah. Salah satu sebab kenapa golongan ini begitu benci dan marah kepada agama Islam kerana salah faham mereka terhadap Islam. Itu mungkin kerana mereka sendiri yang gagal untuk memahami agama suci ini atau kerana mereka mendapat maklumat yang salah berkaitan Islam.
Tidak mustahil kesalah fahaman ini berlaku kerana ada pihak yang sengaja menulis atau mengambil hanya sebahagian ayat dari al-Quran bagi mengelirukan orang bukan Islam. Sebagai contoh mereka mengatakan al-Quran mengajar orang tidak beriman itu dianggap sebagai najis. Ayat yang dirujuk ialah surah at-Taubah: 28,
“…sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis….”
Terdapat beberapa kesilapan di sini. Mereka hanya mengambil satu bahagian daripada satu ayat sedangkan sambungan ayat tersebut, “…maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini….”
Daripada sini kita tahu ayat ini mempunyai konteks sejarah; orang-orang musyrik Arab telah mencemari Kaabah dengan meletakkan patung-patung Tuhan mereka di dalam dan sekelilingnya. Mereka juga mengelilingi Kaabah dalam keadaan bogel.
Apabila orang Islam menguasai tanah Arab, adalah tidak munasabah membiarkan mereka terus mencemarinya. Kaabah perlu dikekalkan dalam bentuk monotheistiknya yang suci. Ini adalah satu bentuk penyucian yang bukan fizikal bentuknya.
Jadi apabila al-Quran mengatakan orang-orang musyrik itu najis, ia bermaksud dalam konteks ini, bukan daripada segi fizikal sehingga perlu membersihkan diri apabila bersentuhan dengan mereka.
Lebih penting dalam memahami salah faham ini ialah, kesilapan dalam menterjemah ayat ini. Al-Quran menyebut ‘al-musyrikun’ yang merujuk kepada orang Arab pagan. Ayat ini tidak ada kena mengena dengan ahli kitab, dan tertakluk kepada konteks sejarah tertentu seperti yang telah dijelaskan. Begitu juga dengan ayat bunuh orang kafir.
“Dan bunuhlah di mana saja kamu jumpai mereka….”
Bahagian pertama ayat 191 al-Baqarah ini juga sering digunakan sebagai ‘dalil’ untuk menuduh al-Quran mengajar supaya orang Islam membunuh orang bukan Islam. Konteks sejarah kepada ayat ini perlu diperjelaskan.
Bacalah ayat-ayat sebelum dan sesudah ayat tersebut dan kita akan dapati ia menceritakan tentang sikap kaum musyrik yang banyak menzalimi Muslim ketika itu. Malah dalam pertengahan ayat-ayat yang menceritakan kisah itu, diingatkan,
“….kemudian jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Jadi mesej ayat yang dipertikaikan itu merujuk secara spesifik kepada orang musyrik yang memusuhi dan menzalimi orang Islam.
Malah al-Quran menyeru Muslim menerima musuh perang yang memohon perlindungan agar mereka berpeluang mendengar ayat-ayat Allah. Jadi, tidak benar sama sekali tuduhan yang menyatakan Islam mengajar agar orang bukan Islam dibunuh. Ia bertentangan dengan ajaran al-Quran yang menyebut ‘tidak ada paksaan dalam beragama.’
Satu lagi tuduhan ialah, “Muslim diwajibkan memerangi bukan Muslim sehingga mereka menerima Islam.”
Mereka mengambil ayat 38 surah al-Anfaal,
“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah….” (juga ayat 194 surah al-Baqarah)
Ada yang mentafsirkan ayat ini sebagai ‘Islamlah satu-satunya agama.’ Adakah interpretasi ini tepat?
Perkataan ‘fitnah’ dalam ayat itu merujuk kepada penindasan agama, dan perjuangan yang dimaksudkan ialah sehingga tidak ada lagi penindasan agama. Maka kebebasan beragama perlu ditegakkan kerana agama adalah milik Tuhan, dan bukan dipaksakan oleh penguasa atau pemerintah.
Apabila ayat al-Quran hanya diambil dan difahami sekerat -sekerat, itu yang menyebabkan Islam dipandang buruk
Terdapat satu lagi aspek yang menggambarkan konsistensi metodologi. Mengikut konteks al-Quran, manusia bebas memilih agama atau tiada paksaan dalam beragama. Jadi, tidak mungkin tafsiran yang menyatakan “Muslim diwajibkan memerangi bukan Muslim sehingga mereka menerima Islam,” itu benar!
Perintah perang
Ada juga yang mengambil ayat 190 surah al-Baqarah, “Dan perangilah di jalan Allah….”
Untuk mendakwa inilah ajaran al-Quran yang menyuruh Muslim berperang. Tetapi bacalah ayat tersebut sepenuhnya. Ia bersambung,
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
Tidak cukup dengan itu, mereka juga mendakwa al-Quran juga memerintahkan agar ahli kitab juga diperangi sehingga mereka membayar jizyah atau tunduk patuh. Konteks sejarahnya sangat jelas, tetapi masih ramai yang mengetepikannya.
Umat Islam ketika itu berada dalam keadaan yang sangat kritikal; mereka berhadapan bahaya ancaman daripada dalam kerana orang munafik, dan elemen-elemen permusuhan daripada puak-puak yang membelot dan berpakat dengan pihak luar. Ayat daripada surah at-Taubah ini merujuk kepada konteks perang Tabuk.
Musuhi Yahudi & Kristian?
Banyak kali juga kita mendengar tuduhan al-Quran mengajar agar memusuhi atau tidak berkawan dengan Yahudi dan Kristian, dengan merujuk ayat 51 surah al-Maaidah,
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali (mu)….”
Perkataan yang digunakan dalam al-Quran ialah aulia’ yang bermaksud pelindung. Ia tidak langsung bermaksud memusuhi atau menghina Yahudi dan Kristian, kerana orang Islam perlu melindungi diri mereka sendiri. Dalam konteks sejarah ayat ini pula, orang-orang munafik berpakat dengan musyrik Mekah dan al-Quran mengutuk perbuatan mereka itu.
Dalam surah yang sama disebut agar Muslim tidak mengambil sebagai aulia’ golongan yang mempermainkan agama mereka.
“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil jadi walimu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (iaitu) ….Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang, mereka menjadikannya buah ejekan dan permainan….”
Jika diambil konteks ajaran al-Quran secara lebih meluas, tidak mungkin ia mengajar umat Islam agar tidak berkawan dengan bukan Islam sedang ada ayat penting dalam surah al-Mumtahanah: 8-9 yang menyebut,
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Ada seperkara yang mengejutkan, yang gagal disampaikan melalui terjemahan ayat ini. Perkataan sebenar mengenai hubungan dengan jiran-jiran yang aman ini ialah ‘tabarruhum’, daripada kata dasar ‘birr’.
Maksud ‘birr’ ialah akhlak tertinggi dalam hubungan sesama manusia. Apabila Rasulullah s.a.w. menggunakan perkataan tersebut, Baginda merujuknya kepada hubungan antara anak dan kedua ibu bapanya. Jadi hubungan antara Muslim dengan jiran-jiran bukan Muslim yang tidak memusuhi mereka kerana agama bukan sahaja setakat berlaku adil, berbuat baik, tetapi juga rasa hormat dan kasih sayang.
Rumusannya, dalam mengkaji teks agama, kita perlu melihat tema dominan yang diperkatakan. Terdapat banyak ayat yang memperkatakan tema yang sama, dan jika ada beberapa ayat lain didapati bertentangan dengan tema dominan itu, maka ia mesti dibaca serta difahami dalam konteksnya. Mesej keseluruhan al-Quran tidak boleh dibaca hanya melalui beberapa ayat itu sahaja.
Mesej al-Quran yang lebih luas, dan dibawa dalam banyak ayat ialah keamanan. Dalam hal hubungan Muslim dengan bukan Muslim, al-Quran menerima pluraliti, dan terdapat banyak ayat mengenainya, antaranya surah al-Hujurat: 13
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Benar atau tidak kepercayaan mereka daripada segi teologi bukanlah kerja kita. Kita hanya disuruh berhubung dengan baik dengan mereka, berbincang dengan hikmah, hidup dengan aman dan hanya mengangkat senjata sebagai respons kepada permusuhan dan ancaman. Wallahu a’lam. Utv
Sebab mengapa Paludan membenci Islam
Baca Artikel Menarik:
- Rasuah atau sedekah: Kerajaan perlu bersuara, SPR dan SPRM kena sepakat
- Meerqeen, Anna macam suami isteri sebenar
- Dua anggota Ayahanda Harimau Kumbang dibebas dengan jaminan polis
- Naib Presiden UMNO: Siapa bertahan, siapa mencabar?
- Sanusi terus bermain isu perkauman – Ismail
- Agensi umrah didakwa bolot tiket penerbangan
- Mayat dalam semak adalah Zarina Mukhtar
- Agong berkenan menerima menghadap Ismail Sabri
- Pergaduhan isteri pertama dan kedua, Ini komen anak Zainal Abidin Hassan
- Buaya hantar jasad budak lelaki tidak akan dipindahkan
- Proton X90, sedan baharu Perodua tarikan utama 2023
- Janna Nick Nafi Jadi Punca Fyna Jebat & Isteri Pertama Bertarik Rambut
- Noorkhiriah mengaku salahnya sendiri
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Isteri kedua baru hamil 6 bulan, suami nikah isteri ketiga [VIDEO]