Isu Dana Projek Jalan Luar Bandar Sabah: PM, MOF Digesa Segera Selesaikan Kekangan

Isu Dana Projek Jalan Luar Bandar Sabah: PM, MOF Digesa Segera Selesaikan Kekangan

Isu Dana Projek Jalan Luar Bandar Sabah: PM, MOF Digesa Segera Selesaikan Kekangan

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan digesa segera menyelesaikan isu penyaluran dana bagi projek pembangunan luar bandar di Sabah yang menyaksikan 20 projek infrastruktur bernilai kira-kira RM2.265 bilion terjejas susulan keputusan penangguhan dan pembatalan proses pelaksanaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, isu berkenaan memerlukan campur tangan segera Perdana Menteri bagi memastikan projek yang telah diluluskan kerajaan tidak terus tertangguh hanya disebabkan kekangan penyaluran peruntukan antara kementerian.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober 2026 berhubung isu projek pembangunan luar bandar Sabah yang terjejas akibat keputusan penyaluran dana oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurutnya, berdasarkan angka yang dilaporkan, proses tender bagi 13 projek jalan luar bandar bernilai kira-kira RM1.716 bilion telah dibatalkan, manakala pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi tujuh projek lain bernilai RM548.85 juta pula ditangguhkan.

“Secara keseluruhannya, 20 projek bernilai kira-kira RM2.265 bilion terjejas. Persoalannya, mengapa projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan masih berdepan kekangan pembiayaan sehingga pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan?


DISYORKAN UNTUK ANDA :

BN Dekati Pengundi, Bawa Rekod Pencapaian Kerajaan Negeri

“Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada masalah penyelarasan dan keputusan pentadbiran antara kementerian.

Jika projek telah diluluskan dan keperluannya telah dikenal pasti, kerajaan mesti memastikan pembiayaan tersedia supaya pembangunan dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Hasnol turut merujuk penjelasan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika perbahasan Belanjawan 2027 bahawa KKDW perlu mematuhi arahan MOF bertarikh 10 September 2026 untuk menangguhkan pengeluaran SST bagi projek Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang belum dimulakan.

Malah, menurut penjelasan tersebut, KKDW tidak menerima dana seperti yang telah diluluskan oleh MOF.

Jelas beliau, kelewatan projek berkenaan bukan sekadar isu angka peruntukan atau urusan pentadbiran, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat pedalaman Sabah yang bergantung kepada kemudahan jalan raya untuk menjalani kehidupan seharian.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Gema Melaka: Ahmad Zahid Tekankan Pembinaan Generasi Masa Depan


“Bagi masyarakat pedalaman, jalan raya bukan kemewahan. Ia merupakan keperluan asas yang menentukan perjalanan anak-anak ke sekolah, akses pesakit ke klinik dan hospital serta keupayaan petani membawa hasil pertanian ke pasaran.

“Apabila projek jalan raya tertangguh, rakyat terus berdepan kesukaran. Malah, kelewatan ini juga berpotensi meningkatkan kos pembinaan dan melambatkan manfaat ekonomi yang sepatutnya dinikmati penduduk setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan perlu memastikan kepentingan rakyat Sabah diberikan keutamaan dalam setiap keputusan berkaitan peruntukan dan pelaksanaan pembangunan negara.

“Rakyat Sabah tidak boleh terus dianaktirikan dalam agenda pembangunan negara. Penangguhan projek infrastruktur asas seperti ini menimbulkan persoalan terhadap keutamaan pembangunan yang diberikan kepada Sabah.

“Jangan sampai masyarakat pedalaman terus menanggung kesan kelewatan hanya kerana isu penyelarasan dan penyaluran dana antara kementerian masih belum diselesaikan,” tegasnya.

Beliau turut mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil tiga tindakan segera, iaitu menyelesaikan penyaluran peruntukan serta memberikan kebenaran berbelanja yang diperlukan kepada KKDW, menyediakan pembiayaan mencukupi bagi komitmen projek yang telah diluluskan serta menyemak semula keputusan pembatalan proses tender dan penangguhan pengeluaran SST bagi 20 projek berkenaan.

“Dana mesti disalurkan, projek mesti diteruskan dan pembangunan mesti sampai kepada rakyat. Jangan biarkan masyarakat pedalaman Sabah terus menjadi pihak yang menanggung kelewatan penyelesaian kerajaan.

“Ini soal keperluan asas rakyat, soal kesaksamaan pembangunan dan soal tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Isu Dana Projek Jalan Luar Bandar Sabah: PM, MOF Digesa Segera Selesaikan Kekangan


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Beri Mandat Besar Pada BN Demi Kestabilan, Keyakinan Pelabur – Mohamad Hasan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker