Penyatuan Ummah Bukan Kerana Takut Hilang Kuasa – Hasnal Rezua
Penyatuan Ummah Bukan Kerana Takut Hilang Kuasa – Hasnal Rezua

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Gagasan penyatuan ummah yang dibawa UMNO bukan didorong rasa takut kehilangan kuasa, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh semula teras sokongan Melayu serta mengelakkan perpecahan undi yang boleh merugikan semua pihak.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, kerjasama antara parti-parti Melayu perlu dilihat dalam kerangka lebih besar, bukan sekadar soal menggabungkan dua parti atau pembahagian kerusi semata-mata.
Menurut beliau, keresahan akar umbi UMNO terhadap kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya bersama Dap, merupakan perkara yang perlu difahami dan ditangani parti secara serius.
“Saya rasa penyatuan ummah ini, pertama sekali, memberikan kelegaan kepada ahli UMNO. Ketika kita membuat keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan dan bergerak bersama PKR, Dap serta Amanah, ada keresahan dalam kalangan ahli yang perlu kita fahami,” katanya.
Beliau berkata, peralihan sebahagian undi UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini menjadi isyarat bahawa isu tersebut tidak boleh dipandang ringan.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Hak Undang Yang Empat Tidak Boleh Dipertikaikan – Pengkaji Adat Perpatih
- Ilmu Membentuk Akhlak, Adab Dan Jati Diri Mahasiswa – Dr Zambry
“Walaupun kita cuba menjelaskan UMNO dan Dap seperti minyak dengan air yang tidak boleh bercampur, bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi,” katanya.
Hasnal berkata, kerjasama politik antara UMNO dan Pas perlu mengambil kira kekuatan sebenar sokongan setiap parti bagi memastikan pembahagian peranan dan kerusi tidak menimbulkan ketidakpuasan hati.
“Kita tidak mahu mengulangi pengalaman PN apabila pembahagian kerusi antara Pas dan Bersatu tidak benar-benar mencerminkan kekuatan sokongan masing-masing. Teras perlu dibina dahulu, kemudian parti lain boleh menyertai berdasarkan kekuatan yang mereka bawa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penyatuan Melayu tidak seharusnya terbatas kepada politik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi gagasan yang lebih besar dengan menjadikan Melayu sebagai teras, sambil memastikan semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan selamat dan terlindung.
Mengulas keadaan di Selangor, Hasnal berkata UMNO perlu bergerak secara teratur dalam usaha membina kerjasama dengan Pas, termasuk membincangkan soal pembahagian kerusi di peringkat negeri dan bukannya diserahkan kepada bahagian secara bersendirian.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- UiTM Titik Mula Gerakkan Agenda Malaysia Biru
- Perkhidmatan Parlimen: Memanfaatkan Kebebasan Parlimen Demi Rakyat
- Identiti, Warisan Melayu/Islam Perlu Ada Kesinambungan – Dusuki Ahmad
Agong Perkenan Tujuh Akta Diluluskan Pada Sidang Parlimen Lepas
“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Pas di peringkat Perhubungan Negeri. Saya lebih selesa jika perkara seperti kerjasama dan pembahagian kerusi turut dibincangkan di peringkat tersebut, bukan diserahkan kepada bahagian masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, Selangor mempunyai potensi besar sekiranya kekuatan undi Melayu dapat disatukan, memandangkan negeri itu mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan kira-kira 36 hingga 38 kerusi merupakan kawasan majoriti Melayu.
Katanya, apa-apa bentuk gabungan yang mampu menyatukan kekuatan undi Melayu berpotensi menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Dalam pada itu, Hasnal berkata UMNO perlu terus menggunakan ruang yang ada dalam Kerajaan Perpaduan untuk memperkukuh semula sokongan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
“Selagi kita tidak dikeluarkan, lebih baik kita kekal untuk tempoh yang berbaki kerana UMNO masih mempunyai tujuh menteri, kementerian dan platform untuk menyampaikan khidmat serta meraih sokongan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, matlamat utama penyatuan ummah adalah untuk mengukuhkan semula teras sokongan Melayu dan memastikan undi tidak berpecah sehingga memberi kelebihan kepada pihak lain. – UMNO Online
Penyatuan Ummah Bukan Kerana Takut Hilang Kuasa – Hasnal Rezua
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Johor Terus Dominasi Industri Asas Tani Negara, Catat Jualan RM517 Juta
- Mahasiswa Perlu Perkasa Ilmu Dan Kemahiran – Ahmad Maslan
- Isu RM314 Juta MYEG/Zetrix: Timbul Teka-teki… Kenapa Didiamkan Sebelum Ini?
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Biodiesel B15 Langkah Strategik Kurangkan Diesel Petroleum – Noraini
You must be logged in to post a comment.