EXCO Sedia Ada Kekal Sah, Jalankan Tugas Seperti Biasa – Ismail Lasim
EXCO Sedia Ada Kekal Sah, Jalankan Tugas Seperti Biasa – Ismail Lasim

SEREMBAN, 21 Sept — Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menegaskan bahawa keahlian barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata tafsiran perundangan berkaitan kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO perlu dilihat secara harmoni dan menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran eksekutif di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
Menurutnya, kuasa budi bicara Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2), manakala kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara berkenaan.
Ismail berkata kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) juga perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Hafiz Ariffin Wakili Malaysia Ke Yakutia
- Hentikan Politik Kebencian, Jangan Hina Institusi Pengampunan Diraja – Haryaty
“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Ismail berkata beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah. – UMNO Online
EXCO Sedia Ada Kekal Sah, Jalankan Tugas Seperti Biasa – Ismail Lasim
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Jelajah Mega Penerangan Suntik Semangat PRN – Suraya
- Jangan Laungkan ‘Daulat Tuanku’ Hanya Ketika Keputusan Menyebelahi Parti Sendiri – Syed Mohd Johan
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
UMNO Kepong Zahir Kesyukuran, Junjung Kasih Atas YDPA – TPr Abdul Razak
You must be logged in to post a comment.